Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin (dua kiri) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Agro Penjaja-i di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 13 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Agrobank hari ini melancarkan Agro Penjaja-i, sebuah inisiatif komprehensif yang direka khusus bagi memperkasa golongan penjaja dan usahawan mikro melalui akses kepada pembiayaan inklusif, latihan keusahawanan, literasi kewangan serta kemudahan digital dalam usaha memperkukuh daya tahan ekonomi mereka.

Agro Penjaja-i menyokong agenda keterangkuman kewangan negara di samping memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan bagi komuniti perniagaan kecil dan sektor tidak formal.

Melalui inisiatif itu, para penjaja dan usahawan mikro berpeluang menikmati pelbagai manfaat dan kemudahan istimewa, tertakluk kepada terma dan syarat.

Antaranya, kadar keuntungan istimewa hanya terpakai bagi pembukaan akaun Agro Tani Saudagar-i (untuk kategori individu) atau akaun Agro Perdana Saudagar-i (untuk kategori bukan individu) sahaja.

Selain itu, skim Pembiayaan Mikro sehingga RM100,000; kemudahan Kredit Cashline-i sehingga RM5,000; pembiayaan Ar-Rahnu sehingga RM300,000 dengan kadar keuntungan istimewa serendah RM0.50 sebulan serta Laluan Khas (Green Lane).

Manfaat lain adalah latihan percuma secara dalam talian dan fizikal bagi program Celik Kewangan dan/atau Celik Usahawan dan latihan bimbingan dan pemantauan selama tiga bulan.

Selain itu, khidmat nasihat dan pembiayaan untuk pensijilan halal mengikut garis panduan Syariah dan pakej DuitNow QR SoundBox berharga serendah RM114.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Agro Penjaja-i merupakan satu pendekatan holistik Agrobank dalam memperkasakan komuniti penjaja dan usahawan mikro yang menjadi antara tulang belakang ekonomi negara.

Melalui inisiatif itu, Agrobank bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan yang mudah dan inklusif, tetapi turut membantu mereka meningkatkan ilmu keusahawanan, pengurusan kewangan serta keupayaan pendigitalan perniagaan.

“Kami percaya pendekatan yang menyeluruh ini mampu membantu para penjaja meningkatkan pendapatan, mengembangkan perniagaan dan memperkukuh kelangsungan ekonomi mereka.

“Pada masa sama, Agro Penjaja-i turut menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkasa perusahaan mikro yang lebih berstruktur, mampan dan berdaya tahan,” tambahnya menerusi kenyataan Agrobank di sini hari ini.

Sebagai institusi kewangan pembangunan yang komited terhadap pembangunan sektor agromakanan negara, Agrobank akan terus memainkan peranan aktif sebagai rakan strategik komuniti usahawan tempatan menerusi penyediaan penyelesaian kewangan yang inklusif, progresif dan berteraskan prinsip Syariah.

Untuk maklumat lanjut mengenai Agro Penjaja-i, sila layari www.agrobank.com.my atau kunjungi cawangan Agrobank berdekatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast