Mohd Sukki Othman

GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menasihatkan masyarakat supaya tidak terlalu mudah menggunakan ungkapan `tidak halal’ ketika membincangkan isu cukai dan subsidi kerajaan yang sedang hangat diperdebatkan di media sosial susulan semakan semula subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi golongan T20.

Beliau berkata, isu berkaitan cukai, subsidi, bantuan kerajaan dan pengagihan kekayaan sememangnya boleh menimbulkan emosi, terutama apabila seseorang merasakan dirinya terbeban atau tidak mendapat manfaat secara langsung.

Namun katanya, sebagai Muslim, masyarakat perlu membezakan antara hak untuk mengkritik dasar kerajaan dengan ucapan yang melampaui batas adab dan ukhuwah.

Menurut beliau, ungkapan seperti `saya tak halalkan tax saya digunakan untuk B40′ perlu diperhalusi kerana dari sudut hukum dan pentadbiran negara, cukai yang dipungut kerajaan bukan lagi milik individu secara peribadi selepas ia dibayar mengikut undang-undang.

“Ia menjadi hasil negara yang diurus bagi maslahat umum rakyat seperti pembangunan jalan raya, hospital, sekolah, subsidi, keselamatan, pengangkutan awam, bantuan kebajikan dan sebagainya.

“Dalam fiqh siyasah syar‘iyyah, pemerintah mempunyai kuasa untuk mengurus hasil negara berdasarkan maslahah rakyat secara umum,” katanya ketika diminta mengulas perdebatan berhubung subsidi dan cukai di media sosial.

Beliau berkata, Islam sangat menitikberatkan konsep taawun iaitu saling membantu, takaful ijtimai atau jaminan sosial serta pembelaan terhadap golongan memerlukan.

Katanya, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ma’idah ayat kedua yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu saling bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.”

Selain itu katanya, Nabi Muhammad SAW juga bersabda bahawa perumpamaan orang beriman dalam kasih sayang, rahmat dan simpati sesama mereka adalah seperti satu tubuh sebagaimana diriwayatkan Imam Muslim.

“Sebab itu, membantu golongan yang susah bukan suatu penghinaan kepada golongan lain, bahkan ia sebahagian tanggungjawab sosial dalam sesebuah negara.

“Pada masa sama, Islam juga mengiktiraf hak golongan yang bekerja keras dan membayar cukai untuk menyuarakan pandangan secara matang tentang ketelusan, keberkesanan subsidi, ketirisan atau penyasaran bantuan.

“Kritikan terhadap dasar bukanlah salah selagi dibuat secara beradab dan berfakta,” katanya.

Mohd Sukki berkata, masyarakat bagaimanapun perlu berhati-hati apabila menggunakan ungkapan `tidak halal’ kerana lafaz itu sangat berat dalam masyarakat Melayu-Muslim memandangkan ia membawa implikasi moral dan agama.

Katanya, wang cukai yang dipungut kerajaan bukan diserahkan secara peribadi kepada individu tertentu, sebaliknya diurus dalam sistem kewangan negara berdasarkan dasar pemerintah.

“Maka tidak wajar terlalu mudah menghukum seluruh golongan penerima bantuan sebagai ‘pemalas’, ‘penipu’, atau hidup atas hasil orang lain.

“Ramai juga dalam kalangan B40 benar-benar bergelut dengan kos sara hidup, pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, golongan berada juga tidak boleh dijadikan sasaran kebencian seolah-olah semua T20 hidup mewah tanpa beban.

“Islam menolak budaya hasad dan permusuhan antara kelas masyarakat. Yang perlu dibina ialah rasa tanggungjawab bersama dan ihsan sosial,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan mengenai subsidi dan cukai tidak sepatutnya merosakkan ukhuwah, adab percakapan dan nilai rahmah sesama rakyat.

“Kita boleh berbeza pandangan tentang dasar ekonomi, tetapi jangan sampai hilang akhlak dan timbang rasa.

“Sebuah negara yang baik bukan hanya diukur pada kekuatan ekonominya, tetapi juga pada kekuatan adab masyarakatnya,” katanya.

Sebelum ini terdapat perdebatan hangat, terutamanya dalam kalangan T20, yang menyuarakan rasa tidak ikhlas (tak halal) apabila cukai mereka digunakan untuk menampung subsidi B40 di Threads dan Instagram pada 12 Mei lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast