Datuk Azry Akmar Ayob

KUANTAN – Seorang pesara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerugian RM472,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan phone scam yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta anggota polis.

Mangsa lelaki berusia 71 tahun itu dipercayai diperdaya selama lebih sebulan sebelum menyedari dirinya ditipu selepas suspek masih meminta wang tambahan kononnya bagi tujuan jaminan kes.

Pemangku Ketua Polis Pahang, DCP Datuk Azry Akmar Ayob berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa di daerah Kuantan.

Menurutnya, kejadian bermula pada 30 Mac 2026 apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai MCMC sebelum talian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dikenali sebagai ‘Encik Mazlan’.

“Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan rasuah.

“Bagi tujuan siasatan kononnya dijalankan pihak polis, mangsa diarahkan mengeluarkan semua wang simpanannya dan memasukkan wang ke dalam lima akaun bank berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian melakukan transaksi berkenaan melalui mesin deposit tunai di KotaSAS Kuantan bermula 7 April hingga 8 Mei lalu.

Lebih menyedihkan, mangsa turut diarahkan membuang semua resit transaksi selepas pembayaran dibuat bagi mengelakkan kegiatan itu dikesan.

Akibat terlalu takut dan percaya dengan ugutan suspek, mangsa menyerahkan wang melibatkan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB), wang pencen dan simpanan peribadi dengan jumlah keseluruhan RM472,000.

“Mangsa hanya mula menyedari ditipu apabila suspek masih meminta wang tambahan kononnya sebagai wang jaminan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah panik atau percaya apabila menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa sebagai pegawai penguat kuasa atau institusi kewangan.

Azry berkata orang ramai perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa sebenar terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

Polis menasihati mangsa penipuan disaran segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 untuk tindakan pantas.

Orang ramai juga boleh membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon mencurigakan melalui laman Semak Mule sebelum melakukan transaksi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast