Fazreen Fauzi

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kekal dengan pendirian menolak Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai laluan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) walaupun syaratnya ketat atau terhad.

Presidennya, Fazreen Fauzi berkata, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah menetapkan mata pelajaran teras pendidikan kebangsaan adalah Bahasa Kebangsaan (Melayu); Bahasa Inggeris, Matematik; Sains; Sejarah serta Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral.

Katanya, ini membuktikan bahawa sistem pendidikan negara dibina atas satu standard nasional yang jelas dan dipantau kerajaan.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa hanya Bahasa Melayu dan Sejarah dijadikan syarat kepada laluan UEC ke IPTA sedangkan mata pelajaran teras lain turut menjadi komponen utama sistem pendidikan kebangsaan.

Dalam masa sama, ujarnya, GPMS turut merujuk dokumen Dasar Pendidikan Negara yang rasmi berkaitan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang menyatakan bahawa UEC merupakan peperiksaan yang tidak diiktiraf kerajaan dan SMPC tidak tertakluk kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Maka timbul persoalan mengapa laluan ke IPTA diberikan kepada sistem yang berada di luar kerangka pendidikan kebangsaan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pendirian GPMS itu bukan bersifat perkauman atau menolak hak pendidikan mana-mana pihak, tetapi demi mempertahankan kejelasan dasar pendidikan nasional serta keseragaman standard akademik negara.

Katanya, GPMS turut bimbang pendekatan `laluan inklusif’ ini akan membuka tuntutan daripada pelbagai entiti lain pada masa hadapan serta memberi tekanan kepada IPTA untuk membina mekanisme penilaian tambahan bagi tujuan kemasukan.

“Sekiranya KPT sendiri akui KPM yang melaksanakan SPM, maka timbul persoalan mengapa KPT menerima dan membuka laluan kepada UEC yang bukan berada dalam sistem pendidikan kebangsaan serta tidak diketahui secara jelas bentuk standard, audit dan struktur pengiktirafannya di bawah kerajaan Malaysia,” katanya.

Tambahnya, GPMS berpandangan bahawa akses ke IPTA mesti terus berpaksikan sistem dan dasar pendidikan kebangsaan dan SPM sebagai standard utama negara tidak perlu ada laluan lain.

“Jika semua nak akses ke IPTA maka ambil SPM, tak perlu mengada-ngada ada laluan lain,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast