Pemandangan luas kawasan boulevard ke arah laluan ke Masjidil Haram.

MAKKAH – Dalam tempoh empat tahun lagi, landskap kota suci Makkah dijangka berubah sepenuhnya menerusi pembangunan mega Masar Destination (Masar), sebuah projek bandar moden bertaraf antarabangsa yang dibangunkan bagi menampung peningkatan jumlah jemaah haji dan umrah ke Tanah Suci.

Projek bernilai SR60 bilion itu bukan sekadar melibatkan pembangunan fizikal, malah ia bakal menjadi simbol transformasi besar Arab Saudi dalam usaha menjadikan Makkah sebuah bandar pintar, moden dan mesra jemaah selaras dengan aspirasi Saudi Vision 2030.

Terletak di bahagian barat Makkah, Masar dibangunkan di atas kawasan seluas 1.2 juta meter persegi dan bakal menjadi pintu masuk utama ke Masjidil Haram dari arah Jeddah.

Meskipun konsep pembangunannya menumpukan kepada aspek kemodenan dan berkapasiti tinggi namun tetap mengekalkan nilai kerohanian Kota Suci ini.

Masar projek elit yang bakal mengubah landskap Makkah.

 

Wartawan MalaysiaGazette bersama delegasi media antarabangsa berpeluang ke tapak projek tersebut, diberi penerangan terperinci mengenai pembangunan Masar yang disifatkan sebagai antara projek paling bercita-cita tinggi di Makkah ketika ini.

Pegawai projek Masar Destination, Abdulaziz Alqurashi berkata, Masar dibangunkan bagi meningkatkan pengalaman 30 juta jemaah yang datang ke Makkah setiap tahun menjelang 2030 menerusi penambahbaikan aspek hospitaliti, mobiliti dan infrastruktur perkhidmatan.

“Masar ialah sebuah destinasi bandar luar biasa yang dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa sambil mengekalkan nilai kerohanian Kota Makkah bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk dan pengunjung,” katanya pada taklimat ringkas di pejabat Masar.

Menurut beliau, projek sepanjang 3.65 kilometer itu terletak hanya kira-kira 550 meter dari Masjidil Haram dan bersebelahan dengan stesen Kereta Api Haramain yang menghubungkan Makkah, Madinah dan lapangan terbang.

Lakaran artis pembangunan mega Masar Destination.

Penggunaan kawasan Masar pula berbeza mengikut lokasi.

Semakin dekat dengan Masjidil Haram, lebih banyak hotel dan apartmen hotel dibangunkan, manakala kawasan yang lebih jauh pula pembangunan kediaman dan komersial.

Pusat beli-belah juga dibina di pinggir projek berhampiran stesen besar.

Dari segi infrastruktur, banyak kemudahan pengangkutan bawah tanah akan dibangunkan termasuk stesen metro yang akan bersambung dengan stesen Kereta Api Haramain.

Salah satu komponen utama projek tersebut ialah laluan pejalan kaki gergasi selebar antara 40 hingga 60 meter yang menghubungkan terus kawasan pembangunan dengan Masjidil Haram tanpa bersilang dengan laluan sibuk.

Taklimat media mengenai pembangunan mega Masar Destination.

Laluan itu dibina khas bagi memastikan pergerakan jemaah lebih lancar terutama ketika musim haji dan umrah.

Di kiri dan kanan laluan utama itu pula dibina jalan raya selebar 40 meter bagi laluan masuk dan keluar kenderaan dari arah Jeddah dan pusat bandar Makkah.

Apa yang menarik, di bawah laluan pejalan kaki utama itu disediakan lebih 5,700 petak parkir selain rangkaian bas elektrik ulang-alik dengan 11 hentian di seluruh kawasan Masar.

Delegasi media antarabangsa turut dibawa menaiki bas elektrik tersebut untuk melihat sendiri pembangunan kawasan berkenaan.

Selain hotel dan apartmen hotel yang akan dibina berhampiran Masjidil Haram, kawasan lebih jauh pula akan menempatkan pembangunan kediaman, pusat komersial dan pusat beli-belah moden.

Secara keseluruhan, projek itu dijangka mampu menampung kira-kira 158,000 orang pada satu-satu masa dengan lebih 60 peratus terdiri daripada jemaah haji dan umrah.

Masar juga dibangunkan dengan sistem infrastruktur moden termasuk penyejukan berpusat, rangkaian metro masa depan, sistem kumbahan pintar, saliran hujan dan sistem pengumpulan sampah berpusat yang membolehkan sisa disedut terus ke pusat pengumpulan utama.

Semua utiliti utama disediakan termasuk sistem penyejukan berpusat, bekalan air, elektrik, saliran air hujan, sistem kumbahan, sistem pengumpulan sisa berpusat dan rangkaian pengairan di seluruh kawasan.

Sampah di seluruh Masar akan disedut dan dikumpulkan di satu pusat sebelum dibawa keluar menggunakan lori sampah.

Bagi Arab Saudi, pembangunan Masar bukan sekadar projek hartanah berskala mega, sebaliknya sebahagian daripada usaha besar negara itu untuk menyediakan pengalaman lebih selesa, selamat dan efisien kepada jutaan tetamu Allah yang mengunjungi Makkah setiap tahun.

Menariknya, di tengah-tengah pembangunan moden ini turut dibina Masjid Raja Abdullah seluas 141,000 meter persegi yang menjadi antara mercu tanda utama projek berkenaan.

Bagi delegasi media antarabangsa, lawatan ke Masar memberi gambaran jelas bagaimana Kota suci Makkah sedang melalui evolusi besar daripada sebuah bandar tradisional kepada metropolis Islam moden tanpa mengorbankan identiti dan nilai spiritualnya.

Dalam beberapa tahun akan datang, Masar dijangka menjadi wajah baharu Makkah — sebuah bandar pintar yang menggabungkan teknologi, keselesaan dan kemudahan bagi memenuhi keperluan jutaan umat Islam dari seluruh dunia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast