KUALA LUMPUR – IJM Corporation Berhad (IJM) mengalu-alukan penutupan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan Pengerusi Bukan Eksekutif, Tan Sri Krishnan Tan berkaitan tawaran pengambilalihan sukarela oleh Sunway Berhad yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) seperti pengumuman Bursa Malaysia hari ini.
IJM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang proses tersebut dan kekal komited untuk menyokong pihak berkuasa sebagaimana diperlukan.
Jelasnya, seperti yang diumumkan kepada Bursa Malaysia pada 24 Mac lalu, SPRM telah mengesahkan bahawa siasatan tersebut tidak melibatkan IJM sebagai sebuah entiti.
“Dengan selesainya perkara ini, IJM akan terus melangkah ke hadapan dengan tekad memberi tumpuan kepada pelaksanaan keutamaan strategiknya serta membuka nilai portfolio merentasi perniagaan teras kumpulan.
“IJM menghargai sokongan dan keyakinan berterusan daripada para pemegang saham, pelanggan, rakan perniagaan, pekerja dan pihak berkepentingan kami,” katanya.
Pada 6 Februari lalu, SPRM menahan Krishnan dalam siasatan ke atas dakwaan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset luar negara yang melibatkan anggaran nilai RM2.5 bilion.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki, Pejabat Penipuan Serius (SFO) United Kingdom juga sedang menyiasat dakwaan tersebut.
SPRM turut mengunjungi pelbagai lokasi dalam siasatannya, termasuk rumah Krishnan dan pejabat IJM, serta membekukan akaun bank yang melibatkan kira-kira RM15.8 juta. – MalaysiaGazette
















