KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran menyifatkan keputusan Asheeq Ali Sethi Alivi meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai hak peribadi dalam sebuah negara demokrasi.
Namun menegaskan tindakan itu tidak wajar disertai gambaran seolah-olah parti tersebut telah menyimpang daripada prinsip asal perjuangan reformasi.
Menurut beliau, Keadilan sehingga hari ini masih kekal berdiri atas prinsip keadilan, integriti, reformasi institusi dan pembelaan terhadap rakyat.
“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden parti serta Ketua Angkatan Muda Keadilan, Kamil Munim, parti terus bergerak selari dengan semangat asal perjuangan yang dibina sejak awal penubuhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Prabakaran berkata, dalam sebuah parti demokratik, perbezaan pandangan dan persaingan dalaman adalah perkara biasa, namun setiap isu seharusnya diselesaikan secara tertib dan berhemah melalui saluran parti.
Katanya, serangan terbuka terhadap parti atau kepimpinan hanya akan menimbulkan persepsi yang tidak tepat terhadap perjuangan Keadilan.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sama ada tindakan Asheeq berpunca daripada rasa kecewa apabila sebahagian Ahli Jawatankuasa serta akar umbi di Batu didakwa tidak mencadangkan namanya, sebaliknya lebih terbuka menyokong calon lain termasuk calon ‘payung terjun’.
“Jika benar wujud rasa tidak puas hati di peringkat dalaman, maka sewajarnya perkara itu ditangani secara matang dalam ruang parti, bukannya diterjemahkan dalam bentuk serangan terbuka terhadap organisasi yang pernah beliau sendiri wakili,” tegasnya.
Beliau pada masa sama berkata, setiap individu berhak membuat keputusan politik masing-masing, namun ia tidak seharusnya disertai kenyataan yang boleh memberikan persepsi bahawa Keadilan telah mengkhianati asas perjuangannya.
“Apa pun, saya tetap mendoakan yang terbaik buat saudara Asheeq dalam perjalanan beliau selepas ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















