Seorang pekerja Kompleks Raja Abdulaziz bagi Pembuatan Kiswah Kaabah tekun menjahit benang emas pada kain kiswah kaabah.

MAKKAH – Setiap kali tibanya musim haji, kain kiswah yang menyelubungi Kaabah akan diganti dengan yang baharu sebagai simbol penghormatan dan kemuliaan Baitullah sebagai pusat ibadah umat Islam.

Tradisi yang dilakukan sejak lebih satu abad itu sekali gus menjadi simbol persiapan menyambut kehadiran umat Islam dari seluruh dunia untuk menunaikan rukun Islam kelima.

Kain hitam bersulam benang emas dan perak itu bukan sekadar helaian fabrik biasa kerana di sebalik keindahannya terserlah seni halus Islam dan ketelitian luar biasa dalam proses penghasilannya.

Proses memintal benang yang dilakukan oleh seorang pekerja di Kompleks Raja Abdulaziz bagi Pembuatan Kiswah Kaabah.

Wartawan MalaysiaGazette berpeluang menyaksikan proses menghasilkan Kiswah itu di Kompleks Raja Abdulaziz bagi Pembuatan Kiswah Kaabah, semasa lawatan media yang dianjurkan Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Media Arab Saudi yang disertai bersama pengamal media beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Algeria, Maghribi, Pakistan, Uzbekistan, Ivory Coast, Syria dan Brunei.

Kain kiswah yang menggunakan sutera berkualiti tinggi ini dihasilkan secara eksklusif oleh 154 orang pekerja dalam tempoh 10 bulan dengan kos pembuatan kain Kiswah ini mencecah 25 juta riyal.

Kerja-kerja menyulam benang emas dilakukan dengan teliti oleh pekerja di Kompleks Raja Abdulaziz bagi Pembuatan Kiswah Kaabah.

Tradisi penghasilan kain kiswah ini rumit, lantaran itu ia dibuat dengan cukup teliti dengan standard yang cukup ketat bagi mengelakkan kesilapan berlaku.

Proses penghasilannya bermula dengan mereka bentuk kain, diikuti tenunan sutera menjadi helaian kain hitam bersaiz besar, pewarnaan serta pencetakan kaligrafi ayat suci al-Quran sebagai panduan sebelum kerja sulaman dilakukan menggunakan benang emas dan perak.

Penulis kagum dengan ketelitian pekerja yang menjahit setiap helaian kaligrafi dengan penuh tekun dan cermat.

Setiap gerakan jarum pada jari mereka dibuat dengan penuh berhati-hati.

Kepingan kain Kiswah yang sudah disulam dengan kaligrafi al-Quran.

Walaupun proses awal menggunakan mesin berteknologi moden, namun sebahagian besar pembuatan kain Kiswah masih dilakukan secara manual demi mengekalkan kualiti, ketelitian dan keindahan seni kaligrafi.

Difahamkan proses yang paling sukar adalah pada peringkat sulaman emas.

Kerja-kerja pembuatan kiswah yang dilihat oleh kumpulan media semasa lawatan ini adalah bagi penghasilan kain baharu untuk musim haji tahun depan.

Selain proses penghasilan Kiswah, kompleks itu turut menempatkan galeri khas yang mempamerkan koleksi kiswah lama, artifak berkaitan Kaabah serta sejarah pengurusan Masjidil Haram.

Bekas bingkai Hajarul Aswad yang dipamerkan di Muzium Haramain.

Terdahulu, para petugas media dibawa ke Muzium Haramain yang terletak bersebelahan Kompleks Raja Abdulaziz bagi Pembuatan Kiswah Kaabah.

Muzium ini mempamerkan sejarah dua masjid suci serta koleksi berkaitan Kaabah termasuk Kiswah lama, manuskrip dan artifak Islam bersejarah.

Lawatan media tidak selesai di situ, kemuncaknya kami dibawa mengembara ke Muzium Menara Jam Makkah atau Clock Tower Museum yang terletak di empat tingkat teratas Menara Jam Abraj Al-Bait.

Muzium yang berada lebih 450 meter dari aras tanah itu merupakan antara muzium tertinggi di dunia dan menawarkan pengalaman unik yang menggabungkan elemen sains, astronomi dan sejarah Islam.

Salah satu ruang pameran di Muzium Menara Jam Makkah.

Di tingkat pertama, pengunjung didedahkan mengenai sejarah pembinaan Menara Jam Makkah, manakala tingkat kedua pula memaparkan evolusi alat pengukur masa sejak zaman dahulu.

Tingkat ketiga memberi fokus kepada hubungan matahari, bulan dan bumi dalam penentuan waktu solat serta kalendar Islam.

Sementara itu, tingkat keempat membawa pengunjung meneroka alam semesta termasuk galaksi, fenomena gerhana dan aurora menerusi paparan interaktif.

Pemandangan Masjidil Haram dari dek pemandangan Muzium Menara Jam Makkah.

Antara tarikan utama muzium itu ialah dek eksklusif yang menawarkan panorama luar biasa Masjidil Haram dan Kaabah.

Selesai di situ, petugas media dibawa menelusuri sejarah Islam, perkembangan tamadun serta keagungan sirah Rasulullah SAW di International Fair and Museum of the Prophet’s Biography and Islamic Civilization terletak di tingkat dua bangunan King Abdulaziz Endowment (Menara Jam).

Antara replika yang dipamerkan di International Fair and Museum of the Prophet’s Biography and Islamic Civilization.

 

Muzium ini menarik kerana menampilkan sejarah dan perjalanan hidup Nabi Muhammad, sirah dakwah baginda serta perkembangan tamadun Islam dalam pelbagai bahasa dengan menggunakan teknologi canggih seperti virtual reality (VR), dan augmented reality teknologi yang menggabungkan objek digital 3D atau 4D.

Di sini, pengunjung dapat melihat pelbagai paparan berkaitan akhlak, kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW yang disampaikan secara visual dan interaktif bagi memberi pemahaman lebih mendalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast