Nurulhidayah Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Exco Wanita UMNO, Nurulhidayah Ahmad Zahid menyelar pihak yang cuba memainkan naratif kononnya beliau menyokong pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Tegasnya, beliau tidak pernah menyokong pengiktirafan UEC seperti yang cuba dimainkan tersebut.

Jelasnya, UEC sehingga hari ini juga tidak pernah diiktiraf sebagai peperiksaan rasmi kerajaan dan juga tidak diangkat sebagai sistem peperiksaan rasmi negara yang membolehkan mereka yang tamat pendidikan dari Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) terus layak ke IPTA.

Malah, jelasnya, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) semalam telah memberikan penjelasan, namun masih ramai yang memilih untuk tidak mahu memahami.

“Saya menyelar pihak yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan gambar saya untuk “menjual” naratif yang saya tidak pernah sebut.

“Ambil separuh cerita, manipulasi fakta sebenar, petik separuh kenyataan, kemudian tampal ikut selera sendiri untuk membina naratif yang saya tidak pernah nyatakan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Semalam, menerusi hantaran di Facebooknya, Nurulhidayah berkata, keputusan berkaitan kemasukan lepasan UEC ke IPTA bukan keputusan seorang menteri secara individu, apatah lagi keputusan UMNO semata-mata.

Menurutnya, walaupun Menteri Pendidikan Tinggi datang daripada UMNO, segala keputusan dasar pendidikan negara perlu melalui proses kelulusan Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dipersetujui secara bersama oleh kerajaan.

Lebih penting, katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk, ramai sengaja menutup fakta bahawa UEC sahaja masih tidak diiktiraf secara automatik untuk semua kemasukan IPTA.

“Syarat asas tetap wujud iaitu PERLU ada kredit Bahasa Melayu, perlu lulus Sejarah, dan hanya program tertentu sahaja dibuka berdasarkan syarat merit universiti.

“Malah untuk kebanyakan program kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, undang-undang dan lain-lain, syarat akademik tetap ketat dan tertakluk kepada keputusan senat universiti,” katanya menerusi hantaran itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast