Ezad Exists bersama isterinya Zeana Ramli ketika ditemui di Makkah.

embargo jam 11am waktu Malaysia

MAKKAH – Penyanyi kumpulan Exists, Ezad Lazim tidak mampu menyembunyikan rasa syukur apabila impian untuk menunaikan ibadah haji bersama isteri akhirnya menjadi kenyataan tahun ini.

Menurut Ezad atau nama sebenarnya Mohd Ezad Mohd Lazim, peluang menjadi tetamu Allah bersama isterinya, Nor Azeana Ramli merupakan rezeki terbesar yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Malah, penyanyi berusia 46 tahun itu mengakui dia cukup sebak kerana hasrat yang dipendam sejak sekian lama akhirnya dimakbulkan Allah selepas rayuan haji yang dibuat mereka berjaya.

“Kami ikut prosedur, buat rayuan dan pada masa sama tak putus-putus berdoa agar hasrat untuk menunaikan haji dimakbulkan Allah.

“Isteri buat rayuan dulu, kemudian baru saya. Rasa syukur saya memang tak dapat diungkap dengan kata-kata. Tak tahu nak cakap apa, sedih pun ada.

“Apa yang saya doa, hajat dan inginkan, Allah bagi. Syukur sangat sebab dapat pergi bersama-sama isteri,” katanya ketika ditemui di sini.

Ezad dan Nor Azeana Ramli berkongsi kisah perjalanan menjadi jemaah haji ketika ditemui di Makkah baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Jesnita itu lagi, rayuan beliau untuk menjadi mahram kepada isterinya akhirnya diterima, sekali gus melengkapkan perjalanan mereka sebagai pasangan suami isteri di Tanah Suci.

Menurut Ezad, pengalaman menunaikan haji kali ini juga cukup berbeza berbanding ketika mengerjakan umrah sebelum ini kerana suasana dan perasaannya jauh lebih mendalam.

Dalam masa sama, Ezad mengakui isterinya menjadi individu paling banyak mendorong dia untuk komited menabung dan mendaftar haji sejak kelahiran anak pertama mereka.

“Dia yang selalu tanya kenapa saya belum daftar haji. Saya memang ada akaun Tabung Haji sejak sekolah lagi tapi tak pernah daftar (haji).

“Lepas anak lahir, isteri ajak buka akaun anak dan pada masa sama dia suruh saya daftar haji. Isteri memang selalu cakap dia mahu buat haji waktu muda dan sihat,” kata bapa kepada dua cahaya mata ini.

Disebabkan itu, Ezad mengakui dia mula risau apabila isterinya  terlebih dahulu menerima panggilan haji sedangkan dirinya masih menunggu keputusan rayuan.

“Sebab itu bila isteri saya dapat dulu, saya memang tertanya-tanya sama ada saya dapat atau tidak untuk pergi bersama.

“Alhamdulillah akhirnya Allah izinkan kami jadi tetamu-Nya bersama-sama tahun ini,” katanya sambil memandang isteri yang berada di sisi.

Sementara itu, Nor Azeana Ramli berkata, dia banyak menghadiri kursus haji sebelum ini walaupun ketika itu masih belum membuat rayuan.

Katanya, setiap kursus yang dihadiri memberi banyak ilmu termasuk berkaitan proses rayuan haji selain menguatkan keyakinannya untuk terus berdoa.

“Bagi saya doa itu senjata paling kuat. Apa yang kita betul-betul mahu, kita kena terus minta dan ulang doa itu dengan penuh ikhlas,” katanya.

Dalam pada itu, Ezad turut berkongsi momen paling menyentuh hati sepanjang berada di Tanah Suci apabila dia gagal menahan air mata setiap kali berdiri di hadapan Kaabah.

“Kalau berada depan Kaabah dan berdoa, memang saya tak boleh kawal air mata.

“Kita sedar banyak dosa dan kekurangan diri. Bila datang ke Tanah Suci, terutama kali pertama sebagai jemaah haji, perasaan itu memang sangat berbeza.

“Memang rasa terlalu kerdil di depan Allah,” katanya penuh sebak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast