KUALA LUMPUR – PKR akan menentukan status keanggotaan ahli Parlimen dari partinya yang hadir ke dalam program melibatkan Datuk Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini.
Setiausaha agungnya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, ia ekoran ada beberapa ahli Parlimen PKR yang dilihat menghadiri majlis pengumuman hala tuju Rafizi dan Nik Nazmi.
Mengenai hasrat Rafizi dan Nik Nazmi mengosongkan kerusi masing-masing, pihaknya akan merujuk kes itu kepada Speaker Dewan Rakyat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
“PKR telah menerima rakaman ucapan Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa yang umum mengosongkan kerusi Parlimen dan keluar daripada parti hari ini.
“Kami menerima hasrat tersebut dan mengikut Fasal 9(1)(c) dalam Perlembagaan PKR maka tergugur keanggotaan mereka dengan pengisytiharan keluar parti.
“Pengisytiharan itu adalah jelas bertepatan dengan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik,” katanya dalam kenyataan.
Hari ini Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan hasrat untuk meneruskan perjuangan politik menerusi Parti Bersama. – MalaysiaGazette
















