Gambar hiasan

SERDANG  – Proses penanaman padi di Kedah, termasuk kawasan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 50 peratus pesawah kini memulakan kerja penyediaan tanah bagi fasa pertama musim penanaman tahun ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan itu jauh lebih baik berbanding sebelum ini apabila hampir 90 peratus pesawah masih belum memulakan kerja penanaman akibat faktor kos operasi serta kekangan bekalan air.

Beliau berkata, mengikut jadual asal MADA, fasa pertama penanaman sepatutnya bermula pada 15 April lalu, diikuti fasa kedua pada 29 April dan fasa ketiga pada Rabu lalu.

“Lebih 50 peratus pesawah sudah mula membajak dan air juga sudah memasuki sawah walaupun paras takungan empangan belum mencapai tahap memuaskan.

“Penanaman akan bermula tidak lama lagi kerana lebih separuh sudah selesai membajak. Proses ini sedang berjalan,” katanya selepas merasmikan program Hi-Tea Pitch & Connect @MAHA 2026 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad tidak menolak sebarang kelewatan penanaman boleh memberi kesan kepada kadar sara diri beras (SSR) negara, memandangkan Kedah merupakan antara penyumbang utama pengeluaran beras.

“Kalau ada kelewatan, sudah tentu akan ada sedikit pengurangan. Faktor cuaca juga boleh ubah jadual penanaman,” katanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast