KUALA LUMPUR – Kes gangguan seksual di negara ini bukan hanya melibatkan wanita, malah turut membabitkan golongan lelaki, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata peningkatan laporan yang diterima menunjukkan semakin ramai mangsa termasuk lelaki tampil mendapatkan bantuan dan membuat aduan.
Menurutnya, statistik diterima kementerian kini mencecah lebih 1,000 laporan, namun angka itu hanya membabitkan aduan yang diterima di kaunter kementerian dan tidak termasuk laporan polis.
“Kes gangguan seksual ini bukan hanya melibatkan wanita tetapi juga lelaki.
“Maka kita perlu menghormati gender tidak kira lelaki atau perempuan kerana lelaki juga tidak mahu diperlakukan sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment di Hotel Premiera, hari ini.
Nancy berkata, antara bentuk gangguan yang dilaporkan melibatkan sentuhan fizikal tidak diingini sehingga menyebabkan mangsa berasa tidak selesa.
Katanya, terdapat juga lelaki yang tampil berkongsi pengalaman diganggu secara fizikal ketika berada di tempat awam termasuk pusat beli-belah.
“Bila kita mengadakan advokasi seperti ini, orang mula tampil dan berkongsi pengalaman mereka secara peribadi,” katanya.
Beliau menambah, Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) turut menerima tiga kes melibatkan lelaki dan ada antaranya telah diberikan award.
“Jadi lelaki di luar sana jangan fikir program kesedaran ini hanya untuk wanita, tetapi juga untuk lelaki,” katanya. – MalaysiaGazette















