KUALA LUMPUR –Kredibiliti manifesto Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad dipertikaikan Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Ketua Penerangannya, Danish Hairudin berkata, rakyat hari ini sudah terlalu matang untuk menilai “skrip lama” yang diulang semula dalam bentuk manifesto baharu.
“Perlu diingat, sebahagian besar formula ekonomi, naratif reformasi dan draf manifesto PH sebelum ini lahir daripada kelompok Rafizi sendiri. Mereka berada dalam kedudukan Menteri dan Timbalan Menteri.
“Rafizi diberikan portfolio paling penting sebagai Menteri Ekonomi. Beliau berada dalam posisi terbaik untuk membuktikan segala formula dan janji yang pernah dilontarkan selama bertahun-tahun kepada rakyat.
“Maka tidak hairan rakyat hari ini menjadikan rekod prestasi beliau sebagai kayu ukur sama ada manifesto baharu yang dibawa selepas ini benar-benar boleh dipercayai atau sekadar retorik politik kitar semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, rakyat mahukan pemimpin yang bekerja dan memikul amanah, bukannya individu yang petah mencipta persepsi serta teori ekonomi ketika belum memegang kuasa tetapi gagal menterjemahkannya apabila diberi peluang mentadbir negara.

“Saya yakin rakyat semakin bijak membezakan antara propaganda manis dengan kerja yang benar-benar tuntas.
“Tiada mana-mana individu lebih besar daripada perjuangan parti. Kerusi yang dimenangi atas kekuatan parti akan terus dipertahankan oleh Parti Keadilan Rakyat dan AMK,” katanya.
Semalam, Parti Bersama yang diterajui Rafizi dan Nik Nazmi melancarkan 12 agenda utama sebagai sebahagian pelancaran kepimpinan baharu parti itu.
Agenda tersebut merangkumi cadangan mewujudkan sistem keselamatan sosial nasional yang memberi bantuan bulanan kepada semua isi rumah berdasarkan pendapatan, umur dan tanggungan, selain sasaran pertumbuhan ekonomi serta kenaikan gaji rakyat sekurang-kurangnya lima peratus setiap tahun.
Ahad lalu, Rafizi bersama seorang lagi bekas menteri, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan langkah untuk mengambil alih Parti Bersama Malaysia.
Perkara itu diumumkan dalam satu majlis khas di Petaling Jaya yang dihadiri kira-kira 800 penyokong. – MalaysiaGazette
















