Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2025 kepada Penguasa Imigresen, Muhd Adri Fitri Abdul Khalid di Dewan De’ Seri Endon Puspanitapuri. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 Mei 2026.

PUTRAJAYA – Satu projek khas berkaitan pengurusan pelarian secara komprehensif yang sedang dilaksanakan kerajaan berpotensi menjadi game changer dalam landskap pengurusan pelarian negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN), hari ini.

“Ia dibangkitkan selepas saya mengadakan lawatan ke Depot Imigresen Bidor semalam bagi meninjau perkembangan projek berkenaan.

“Projek khas itu kini sedang berjalan di bawah tanggungjawab yang diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ia dilihat mampu membawa pendekatan baharu yang lebih menyeluruh dalam mengurus isu pelarian di Malaysia,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan (APC) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) 2025 di sini hari ini.

Menurut Saifuddin, laporan awal berhubung projek itu sudah dibentangkan kepada ahli-ahli MTEN dan ia berjaya menarik perhatian sebahagian ahli-ahlinya.

“Sebahagian besar anggota MTEN menunjukkan minat mengenai projek tersebut sehingga mencetuskan perbincangan panjang serta mendalam.

“Projek itu berpotensi menjadi game changer kepada satu tajuk besar dalam negara kita iaitu pengurusan pelarian secara komprehensif,” katanya.

Selain itu, Saifuddin berkata, idea untuk membawa perkara itu ke peringkat MTEN dicadangkan sendiri oleh Ketua Pengarah Imigresen dalam sesi pra-majlis pada pagi tadi.

“Hasil perbincangan tersebut, beliau telah diminta untuk menyediakan pembentangan lanjut kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya lagi, satu nota Jemaah Menteri dijangka disediakan sekitar minggu kedua Jun depan bagi memberi penjelasan lebih terperinci kepada anggota Kabinet mengenai pelaksanaan projek khas tersebut.

“Permintaan itu dibuat sendiri oleh beberapa menteri yang mahu mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung inisiatif berkenaan.

“Ini kerana projek tersebut mempunyai implikasi besar terhadap dasar pengurusan pelarian negara pada masa hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast