Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (lima dari kanan). Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti KPT, Dr Samsuri Abdullah, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan UDA Holdings, Farizul Zainudin bergambar bersama penerima sumbangan Program Sinar Kasih UDA Cares - PTPTN (SAKURA).

KUALA LUMPUR- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan UDA Holdings Berhad terus memperkukuh sinergi strategik menerusi pelaksanaan Program Sinar Kasih UDA Cares – PTPTN (SAKURA).

Program tersebut merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu pelajar asnaf di institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara.

Ia merupakan kesinambungan kepada kolaborasi strategik yang dimeterai antara kedua-dua organisasi sejak tahun 2024 selaras dengan aspirasi bersama dalam memperkasa agenda pendidikan tinggi negara di samping membudayakan amalan menabung serta perancangan kewangan pendidikan dalam kalangan masyarakat.

Menerusi program itu, UDA Holdings Berhad menyalurkan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM240,000 untuk dimanfaatkan oleh 1,200 orang pelajar asnaf dari Universiti Awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti terpilih di seluruh Malaysia.

Sumbangan tersebut disalurkan terus ke dalam akaun Simpan SSPN Prime dengan setiap pelajar menerima RM200 seorang.

Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM) yang disempurnakan Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Shamsuri Abdullah; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Ketua Pegawai Kewangan UDA Holdings Bhd, Farizal Zainudin; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Prof. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya dan Pengarah Negeri PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

Menurut Norliza, PTPTN berharap agar sumbangan tersebut meringankan beban pelajar serta meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi tumpuan kepada pembelajaran.

“Majlis ini mencerminkan sinergi kukuh antara PTPTN dan UDA Holdings Berhad dalam memperkasa agenda pendidikan tinggi negara serta memperluas budaya prihatin dan menabung dalam kalangan masyarakat.

“Saya menyeru sokongan dan kerjasama semua agensi kerajaan dan swasta untuk bersama-sama membudayakan amalan menabung di negara ini. Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk kolaborasi strategik demi manfaat pendidikan dan pembentukan generasi MADANI,” katanya.

Sebahagian daripada penerima sumbangan Program Sinar Kasih UDA Cares – PTPTN (SAKURA) Universiti Sains Malaysia (USM) bergambar bersama tetamu yang hadir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Bhd, Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata, program SAKURA diharap dapat menyokong pembangunan insan yang lebih seimbang serta menyumbang kepada pembentukan generasi masa depan yang berdaya saing dan berdaya tahan.

PTPTN telah memperkenalkan instrumen simpanan melalui Simpan SSPN sebagai platform terbaik untuk menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi.

Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah.

Sempena Belanjawan 2025, kerajaan telah bersetuju kriteria pemberian Geran Sepadan ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT diperluaskan kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 sehingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun di bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI).

Pendeposit yang layak kini boleh memohon geran sepadan sehingga RM5,000 untuk satu keluarga.

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited melaksanakan pelbagai kerjasama strategik dan inisiatif inklusif dalam memastikan akses pendidikan tinggi dapat dinikmati secara menyeluruh, khususnya bagi golongan asnaf dan B40, demi menjamin kelangsungan pendidikan anak-anak Malaysia. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast