KUALA LUMPUR adalah sebuah wilayah yang unik dari sudut topografinya. Mungkin ramai yang tidak cakna terdapat 11 anak sungai mengalir merentasi ibu kota yang terletak di atas lembangan Sungai Klang ini.
Keadaan inilah yang menjadikan Kuala Lumpur terdedah kepada risiko banjir setiap kali paras sungai meningkat. Situasi diburukkan lagi oleh kesan perubahan iklim dengan hujan yang lebih lebat dan semakin sukar diramal.
Fenomena yang asalnya luar biasa kini mula merubah menjadi kebiasaan. Misalnya, pada 6 Mei lepas, stesen bacaan mencatatkan 96.5 milimeter hujan dalam tempoh hanya satu jam, jauh melebihi julat amaran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sekitar 60 milimeter dalam dua hingga empat jam.
Namun apa yang menentukan sama ada hujan sebegitu menjadi banjir bukan sahaja jumlah turun hujan, tetapi permukaan yang menerimanya. Jika sesebuah kawasan hijau itu mampu menyerap sehingga 80 peratus curahan hujan, permukaan jalan raya dan bangunan pula melepaskan hampir keseluruhan air hujan terus ke dalam longkang sekaligus berpotensi mengakibatkan banjir kilat.
Justeru amaran tegas Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh agar kawasan tadahan tidak boleh dikorbankan adalah kayu ukur yang jelas ke arah pelan pembangunan yang lebih seimbang.
LANGKAH PROAKTIF
Hasil daripada intervensi yang terkini, jumlah titik panas banjir di Kuala Lumpur telah dikurangkan kepada 14 lokasi berbanding lebih 30 sebelum ini. Pengorekan kelodak di Sungai Toba umpamanya, kini dilaksanakan setiap dua bulan bagi memastikan kapasiti aliran terkawal.
Pada masa sama, pembinaan tembok penahan serta pemasangan outlet terbuka turut beroperasi di lokasi kritikal. Perancangan kolam takungan bawah tanah dan usaha memerangkap sampah mesra alam pula digerakkan secara serentak.
Apa yang menarik, langkah-langkah ini tidak lagi bergerak secara terpisah, sebaliknya saling melengkapi. Pendekatan ini selari dengan konsep pengurusan air bersepadu, di mana saliran, guna tanah, pemeliharaan alam sekitar dan tindak balas operasi berfungsi sebagai satu rangkaian.
SEIRING KOTA LAIN
Kuala Lumpur bukan satu-satunya ibu kota yang berdepan cabaran sedemikian. Tokyo umpamanya menerima purata 1,700 milimeter hujan setahun dan pernah berdepan episod banjir besar yang dasyat sehingga melibatkan kematian penduduk.
Hari ini, di bawah permukaan ibu kota Jepun tersebut terdapat 58 kemudahan penyimpanan air hujan dengan kapasiti keseluruhan 600,000 meter padu. Setiap pembangunan baharu pula diwajibkan memasang tangki takungan air di tapak masing-masing.
Singapura pula mengintegrasikan pengurusan air hujan dengan ruang hijau menerusi program Active, Beautiful, Clean (ABC) Waters yang dilancarkan pada 2006. Salah satu inisiatif berjaya adalah apabila saluran konkrit di sepanjang Taman Bishan-Ang Mo Kio dipulihkan menjadi laluan sungai semula jadi yang boleh berperanan sebagai takungan dan ruang rekreasi dalam masa yang sama.
Usaha tersebut kemudiannya diperluas ke lebih 100 tapak, sekaligus menjadikan setiap taman dan longkang utama sebahagian daripada infrastruktur kawalan banjir city state itu.
Bagi Kuala Lumpur yang sudah memiliki data hujan masa nyata dan pemetaan risiko, jurangnya bukan lagi maklumat tetapi kepimpinan untuk bertindak. Kehadiran Hannah oleh itu hadir pada masa yang tepat, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk mewajibkan setiap projek baharu menyerap hujan di tapaknya sendiri.
MERANCANG DENGAN DATA
Apa yang membezakan pendekatan kini ialah penguatkuasaan yang berjalan seiring dengan perancangan. Buktinya, sebanyak 543 kawasan hijau dan lapang di Kuala Lumpur telah diwartakan setakat tahun ini. Pembangunan di tanah kosong tidak lagi boleh dilakukan secara semborono dengan adanya pewartaan ini.
Status perlindungan undang-undang ini secara tidak langsung memelihara ruang serapan semula jadi dan secara tidak langsung mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan risiko tinggi seperti di hiliran bukit.
Biarpun begitu, pihak berwajib tidak boleh memikul beban ini bersendirian. Kapasiti kolam takungan di Jinjang dan Batu umpamanya, telah susut kepada hanya 30 peratus daripada keluasan asal 33.5 hektar setelah 17 lot tanah diserahkan kepada pemaju sejak 2015 sehingga sebelum mulanya pentadbiran hari ini.
Senario sebegini tidak boleh dibiarkan berulang. Sektor swasta seharusnya berkongsi tanggungjawab melestarikan Wilayah Persekutuan. Kerjasama erat seperti menerusi penubuhan Jawatankuasa Parlimen Khusus adalah satu contoh usaha baik untuk membolehkan dasar yang dibina hari ini terus berjalan baik parti mana pun yang memegang mandat pentadbiran.
Saya percaya kesinambungan yang lama dinantikan ini sudah mula menampakkan hasil. Pangkalnya terletak pada memastikan komitmen melindungi hak penduduk berkekalan, lebih-lebih lagi dalam suasana politik yang semakin berdinamik akhir-akhir ini.
Oleh,
Jabir-Abdullah Amir, Pengamal undang-undang di Kuala Lumpur
















