JOHOR BAHRU – Seramai 38 warga asing yang bekerja di kedai makan sekitar daerah ini diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Selera semalam.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Johor dilaksanakan pukul 11 pagi.
“Operasi ini adalah hasil risikan serta pemantauan berterusan susulan aduan awam. Beberapa individu cuba meloloskan diri ketika serbuan dilakuka, namun keadaan berjaya dikawal oleh pegawai penguat kuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, turut ditahan dua lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pengurus premis bagi membantu siasatan.
Jelasnya, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 24 lelaki dan 14 wanita warga Indonesia berusia antara 18 hingga 50 tahun dipercayai bekerja sebagai tukang masak dan pelayan restoran.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tambahnya, semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk tindakan lanjut manakala tiga Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan.- MalaysiaGazette
















