MELAKA – Kampung Paya Luboh, Tangga Batu di sini bakal mencipta sejarah apabila menghimpunkan lebih 2,000 peminat motosikal berkuasa tinggi dari dalam dan luar negara pada program Bikers Day @ D’Sawah PL Square selama tiga hari bermula esok.
Program yang berlangsung dari 22 hingga 24 Mei itu dianjurkan Koperasi Kampung Paya Luboh Melaka Berhad dengan kerjasama Japerun DUN Pantai Kundor serta Kelab Daddy Bikers Malaysia (DBMC).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, program tersebut bukan sekadar himpunan komuniti permotoran malah menjadi platform memperkenalkan kampung berkenaan sebagai destinasi pelancongan agro dan komuniti baharu di Melaka.
“Penganjuran berskala besar itu juga selari dengan agenda pembangunan pelancongan negeri serta usaha memperkasa ekonomi masyarakat setempat apabila ribuan pengunjung datang ke kawasan ini.
“Secara tidak langsung hotel, homestay, kedai makan dan perusahaan kecil tempatan akan menerima limpahan ekonomi sepanjang program berlangsung,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, program itu dijangka menerima penyertaan lebih 114 kelab permotoran dari seluruh negara selain penglibatan komuniti motosikal berkuasa tinggi dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.
“Saya yakin, program ini mampu mendapat sambutan baik sebab itu tahun depan kita bercadang menjadikannya acara tahunan negeri Melaka,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Kampung Paya Luboh Melaka Berhad, Mohamad Shafik Safarizan berkata, penganjuran bukan hanya tertumpu kepada komuniti motosikal berkuasa tinggi semata-mata.
Sebaliknya ia turut melibatkan aktiviti keagamaan, kebudayaan dan komuniti setempat antarany Paya Luboh Berselawat, cabutan bertuah wang tunai RM1,000, pertunjukan bunga api serta ziarah kasih selain konvoi santai dan pertandingan auto show.
“Program ini bersifat mesra keluarga dan inklusif kerana kita mahu masyarakat setempat turut sama merasai manfaatnya.
“Kita harap Bikers Day @ D’Sawah PL Square dapat mengangkat Kampung Paya Luboh sebagai destinasi pelancongan desa dan agro yang lebih dikenali selepas ini,” katanya.
Tambahnya, acara berkenaan bakal menghimpunkan pelbagai kategori motosikal termasuk Harley-Davidson, chopper, custom, spider dan superbike.
Menurutnya, tumpuan utama diberikan kepada motosikal berkuasa tinggi termasuk Harley-Davidson 500cc hingga 1,800c c menjadikan ia himpunan motosikal ‘kangkang’ terbesar cuba dikumpulkan dari seluruh negara.
“Kita juga akan cuba menampilkan Naib Juara (Freestyle) Kejohanan Dunia Pembinaan Motosikal Custom AMD 2018 yang berlangsung di Cologne, Jerman untuk membawa beberapa koleksi motosikal istimewanya termasuk motosikal Batman,” katanya. – MalaysiaGazette
















