KUALA LUMPUR – Prinsip Rukun Negara yang kedua iaitu kesetiaan kepada raja dan negara tidak seharusnya dilihat daripada sudut teknikal undang-undang (legal technicalities) semata-mata.
Ia sebaliknya perlu dihayati melalui lensa adab dan budaya kenegaraan yang tinggi, kata pengamal undang-undang, Mohamad Firdaus Jumaluddin.
Menurut beliau, penghormatan terhadap institusi beraja sebagai payung kedaulatan negara berkait rapat dengan prinsip kelima Rukun Negara, iaitu kesopanan dan kesusilaan.
“Kesetiaan kepada institusi diraja melangkaui sekadar kepatuhan literal terhadap teks perlembagaan.
“Apabila kita mencerita tentang prinsip kedua Rukun Negara adalah kesetiaan kepada raja dan negara bukan hanya setakat legal technicalities yang perlu akur tetapi juga sangat berkait rapat dengan soal adab,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG yang mengupas topik ‘Titah Sultan Di Mana Sempadannya’.

Katanya, nilai adab inilah yang menjadi benteng pertahanan dalam mengekalkan kestabilan struktur masyarakat di Malaysia sejak sekian lama.
“Kita boleh lihat prinsip Rukun Negara yang kelima kesopanan dan kesusilaan. Semuanya berkaitan dengan adab, budaya kenegaraan, kestabilan masyarakat dan juga penghormatan kepada institusi-institusi diraja yang menjadi payung negara sejak sekian lama.
“Kalau bercakap mengenai ruang kebebasan bersuara dalam sistem Parlimen, saya tidak menafikan perbahasan melibatkan sejarah perlembagaan dan peranan raja boleh berlaku namun ia tidak memberi tiket kepada mana-mana pihak untuk mencetuskan provokasi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhamad Firdaus turut mengingatkan kepada ahli politik dan masyarakat awam agar sentiasa menjaga batasan bahasa apabila membicarakan soal dasar yang melibatkan institusi istana.
“Apabila kita melihat tentang perbahasan sejarah Perlembagaan, kedudukan raja dan dasar awam, memang sangat boleh dibuat di dalam satu negara yang berdemokrasi tetapi ia mestilah dibuat dengan bahasa yang berhemah, tepat dan tidak mempunyai sentimen yang mengapi-ngapikan.
“Itu juga satu sentimen yang sangat-sangat negatiflah untuk pada ketika ini,” katanya lagi.
Suasana politik hari ini dilihat begitu hangat dengan pelbagai kenyataan apatah lagi terkini kenyataan Sultan Selangor dilihat seperti disanggah oleh beberapa pemimpin parti politik.
Isu ternakan babi di Selangor menjadi polemic apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Agama Islam tidak membenarkan perkara itu dilakukan di negeri ini.
Susulan itu, terdapat kenyataan-kenyataan bahawa kuasa sultan adalah terhad. – MalaysiaGazette
















