KULAI – Misteri sebuah kereta yang hilang sejak Isnin lalu terjawab apabila ditemukan dalam sungai di Kampung Seri Maju di Senai di sini, semalam.
Bagaimanapun tidak ditemui pemandu atau penumpang dalam kereta tersebut sekali gus terus menimbulkan persoalan apa yang sebenarnya berlaku.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kereta tersebut dilaporkan hilang di kawasan Senai di sini pada Isnin lalu.
Beliau berkata, pihaknya tidak dapat mengenal pasti sebarang cap jari daripada kenderaan itu kerana dalam keadaan basah.
“Kereta masih ada rekod hilang, tiada mangsa dalam kereta dan tiada cap jari kerana keadaan kereta basah.
“Kereta akan diserah kembali kepada pemilik dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menemukan sebuah kereta jenis Nissan Almera di sungai di Kampung Seri Maju.
Pihaknya menerima panggilan daripada polis pada pukul 11.19 pagi semalam berkaitan kejadian sebuah kereta terjunam di sungai.
Namun, tiada mangsa ditemukan dalam kereta itu dan semakan mendapati Nissan Almera terbabit dilaporkan hilang Isnin lalu.- MalaysiaGazette
















