MELAKA – Seramai 79 nelayan berlesen di Sungai Lereh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri meluluskan peruntukan khas sebanyak RM50,000 bagi melaksanakan kerja pengorekan laluan muara yang terjejas akibat timbunan pasir sejak tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, masalah berkenaan telah beberapa kali dibangkitkan tahun lalu susulan kesukaran dialami nelayan untuk keluar masuk ke laut.
Menurut beliau, keadaan menjadi semakin serius sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila laluan utama ke jeti nelayan menjadi terlalu cetek sehingga ada nelayan tidak lagi dapat melalui kawasan tersebut ketika air surut.

Tuminah menyantuni wakil daripada 79 nelayan dari kawasan Sungai Lereh mengenai masalah laluan utama ke jeti nelayan menjadi terlalu cetek sehingga menyukarkan mereka ke laut ketika air surut.
“Isu Sungai Lereh ini sebenarnya berkaitan timbunan pasir di laluan daripada pintu masuk muara hingga ke jeti nelayan menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk keluar mencari rezeki.
“Fenomena air pasang surut dan musim ombak menyebabkan pasir kembali memenuhi laluan walaupun kerja pengorekan pernah dilakukan sebelum ini oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.
Katanya, faktor semula jadi itu menyebabkan pengorekan sahaja tidak mencukupi dan memerlukan penyelesaian jangka panjang termasuk cadangan pembinaan struktur kawalan di kawasan muara.
“Bila pasir digali, masa musim pasang dan ombak kuat, pasir akan datang semula. Sebab itu kita perlukan penyelesaian jangka panjang tetapi untuk projek kekal itu, kos yang diperlukan hampir RM2 juta.
“Bagaimanapun, saya minta supaya dicari juga bajet kecemasan walaupun kebiasaannya ia hanya digunakan ketika banjir tapi bila keadaan sudah terlalu teruk dan nelayan langsung tidak boleh lalu, akhirnya kita berjaya dapatkan RM50,000,” katanya.
Tambah Tuminah, operasi pengorekan dijangka mengambil masa antara satu hingga dua minggu bergantung kepada keadaan cuaca dan air surut.
Beliau berkata, antara nelayan yang menerima manfaat termasuk nelayan dari kawasan Sungai Lereh dan Kelebang yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari untuk mencari hasil laut. – MalaysiaGazette
















