KUALA LUMPUR – Sindiket penyelewengan minyak masak peket bersudsidi yang dipindahkan dalam tong besar untuk dijual semula terbongkar menerusi serbuan di sebuah premis tanpa nombor di Klang, Selangor hari ini.
Operasi sekitar jam 1 tengah hari itu dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berdasarkan maklumat dan risikan selama dua minggu.
Pengarah KPDN Selangor, Hanif Asa’ari berkata, dalam operasi itu pihaknya turut menahan enam individu termasuk seorang wanita warga tempatan yang kesemuanya berusia bawah 40 tahun.
“Pemeriksaan mendapati, premis terbabit dijadikan tempat menyimpan cecair disyaki minyak masak dan dipindahkan ke dalam bekas jenis jerry can untuk jualan semula pada harga pembungkusan jenis botol atau kegunaan industri.
“Premis terbabit juga dikesan tidak memiliki dokumen atau lesen sah bagi menyimpan serta berurus niaga barang kawalan berjadual termasuk minyak masak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, dalam serbuan itu pihaknya turut menemukan sejumlah minyak masak peket satu kilogram (kg) yang telah dipotong sebelum dipindahkan ke dalam bekas lain.
“Susulan itu, kita telah menyita kira-kira 5,000 kg minyak masak, lebih 500 unit jerry can, sebuah tangki IBC berisi minyak masak, dan satu gunting serta dua corong untuk peralatan memotong.
“Semakan lanjut mendapati, nilai keseluruhan sitaan mencecah RM300,000 manakala nilai sitaan barang kawalan minyak masak RM25,000 dan anggaran subsidi berjaya diselamatkan mencecah RM10,000,” jelasnya.
Berikutan itu, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 sreta Seksyen 21 akta sama dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – MalaysiaGazette
















