SUNGAI PETANI – Peniaga di tapak ekspo di Dataran Jam Besar, di sini tidak menyangka aktiviti perniagaan di situ bertukar menjadi tragedi apabila tong gas helium meletup dan meragut nyawa seorang daripada mereka.
Seorang peniaga yang turut menjadi mangsa insiden itu, Khairul Shakirin Saad, 36, berkata dia mengalami kecederaan di badan apabila terkena serpihan tong gas tersebut.
Beliau berkata ketika kejadian dia berada kira-kira 100 meter dari kedudukan tong gas berkenaan sebelum terdengar bunyi letupan kuat.
“Ketika itu, saya sedang berbincang sesuatu dengan pihak penganjur ekspo berkenaan sebelum tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang kuat.
“Suasana ekspo menjadi gelap sebab lampu terpadam seketika, kemudian saya rasa sakit di bahagian pinggang dan perut berasa senak sebelum saya rebah,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata kecederaan yang dialaminya tidak serius dan dapat berdiri semula sebelum dimaklumkan ada seorang peniaga lain yang rebah dan meninggal dunia.
Seorang lagi mangsa yang juga pengunjung ekspo berkenaan, Norseri Ahmad Kasa, 49, dari Pulau Pinang berkata ketika kejadian, dia bersama isteri dan anaknya sedang meluangkan masa di situ.
“Selepas itu saya dengar letupan yang kuat dan saya rasa sakit pada bahagian perut…bila tengok ada kesan cedera,” katanya yang cedera ringan dalam kejadian itu.
Ekspo yang dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 26 Mei ini dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada siasatan polis.
Seorang peniaga minuman, Azmi Ahmad, 42, maut akibat kecederaan parah di tangan kanan dan dada sebelah kanan selepas dipercayai terkena serpihan tong gas helium yang meletup malam tadi.
Insiden terbabit turut menyebabkan tiga lagi lelaki berusia 15, 36, dan 49 tahun mengalami kecederaan.
Difahamkan, tong gas helium berkenaan digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak yang dijual di tapak ekspo berkenaan. – BERNAMA















