KUALA LUMPUR – Pas dilaporkan sedang meneliti semula hubungan dan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu termasuk kemungkinan bergerak tanpa parti itu sekiranya gagal mencapai kata sepakat.
“Kita akan kaji satu persatu apa yang akan berlaku selepas ini. Semua aspek akan dilihat termasuk kesan positif dan negatif terhadap kerjasama sedia ada. Kita sabar, kita tidak kecewa tetapi sabar ada batas,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia Online hari ini.
Abdul Hadi juga berkata penelitian semula kerjasama dan hubungan itu melibatkan semua aspek antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN) dikaji secara menyeluruh berdasarkan pengalaman pilihan raya lalu. – MalaysiaGazette
















