KUALA LUMPUR – Tiga lelaki maut manakala seorang wanita parah selepas kereta dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori simen di Kilometer 34 Lebuh Raya Karak berhampiran Sungai Chinchin, awal pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 2.35 pagi.
Kemudian, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian dengan jarak 35 kilometer.
“Sebaik tiba di lokasi terdapat empat mangsa tersepit di dalam kenderaan jenis Volkswagen yang melanggar bahagian belakang lori simen itu.
“Seorang wanita berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan patah kaki kiri manakala tiga lelaki berusia 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan diserahkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















