Ustaz Mad Kecik selamat diijabkabul dengan pasangannya, Nor Shuhada di Bukit Payung, Marang hari ini.

MARANG – Pendakwah, Muhammad Abdullah, 33, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik (UMK) selamat melangsungkan pernikahan bersama pilihan hatinya, Nor Suhada Mohd. Azam, 26, dalam satu majlis sederhana di Bukit Payung di sini, hari ini.

Abang UMK, Mohd. Faizul Abdullah, 41, berkata, adiknya selamat diijabkabulkan di rumah keluarga pengantin perempuan pada pukul 10 pagi.

Menurutnya, majlis tersebut diadakan secara sederhana dengan kehadiran ahli keluarga dan kenalan rapat sahaja.

“Pengantin perempuan merupakan pelajar Madrasah Darul Ansor, Wakaf Tapai, Marang dan perkenalan mereka diatur oleh guru-guru.

“Selain itu, keluarga juga memainkan peranan penting sehingga termeterainya ikatan perkahwinan mereka hari ini,” katanya memetik laporan Kosmo di sini hari ini.

Dia berkata, keluarga turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan serta memberi sokongan kepada UMK dalam usaha dakwahnya sebelum ini.

Sebelum ini, UMK semakin dikenali ramai setelah menyertai misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF) pada bulan Oktober tahun lalu.

Dilahirkan dengan fizikal kerdil setinggi kira-kira 100 sentimeter, beliau membuktikan fizikal bukan halangan untuk berdakwah.

UMK merupakan pengasas Madrasah Darul Zahra di Kuala Berang yang menjadi pusat pengajian Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast