KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah berjaya menyatukan elemen gaya hidup sihat, muzik dan semangat komuniti menerusi program berteraskan kesihatan dan kesejahteraan, Rise & Revive, yang berlangsung meriah di IWK Eco Park @ Pantai Dalam, pagi semalam.
Dianjurkan dengan kerjasama Prahara Studio, program tersebut menghimpunkan peserta daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang bagi menikmati pagi yang penuh bertenaga, menerusi aktiviti senaman, suasana positif serta semangat kebersamaan.
Bukan sekadar program gaya hidup sihat, Rise & Revive turut diadakan bagi menyokong inisiatif tanggungjawab sosial korporat IWK Cares, iaitu Sahabat Istimewa IWK, yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa golongan orang kurang upaya (OKU) di samping memupuk nilai keterangkuman, kebolehcapaian dan penyertaan bermakna dalam komuniti.
Menzahirkan semangat keterangkuman ini, para penghuni dan wakil daripada Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur (PKAKL) serta Malaysia Federation of the Deaf (MFD) turut sama menyertai aktiviti yang dianjurkan, dan menyemarakkan lagi suasana program tersebut.

Pada masa yang sama, IWK turut mengumumkan sebanyak RM8,330 berjaya dikumpulkan menerusi hasil jualan tiket, yang mana ia akan disalurkan sepenuhnya kepada kedua-dua organisasi berkenaan.
“Program ini bukan hanya tertumpu kepada gaya hidup sihat, tetapi ruang yang menyatukan komuniti menerusi suasana yang bermakna dan inklusif, di samping dapat menyumbang semula kepada masyarakat.
“Menerusi Rise & Revive, kami bangga dapat mewujudkan ruang untuk orang ramai berhubung, kekal aktif dan menyokong usaha bermakna buat komuniti.
“Ia mencerminkan semangat satu tujuan, yang selaras dengan komitmen IWK menerusi inisiatif Sahabat Istimewa IWK,” kata Ketua Jabatan Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad.
Berlatarbelakangkan kehijauan IWK Eco Park @ Pantai Dalam, suasana pagi dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kecergasan yang dikendalikan oleh jurulatih dan selebriti terkenal.
Program dimulakan dengan sesi yoga bersama Atilia Haron, diikuti sesi Flyjam bertenaga bersama Mimifly serta Poundfit bersama Hanis.
“Apabila Rise & Revive mula diperkenalkan, ia berniat untuk mewujudkan gaya hidup sihat dengan tujuan yang lebih bermakna.
“Ia bukan sekadar tentang pergerakan, tetapi tentang menyatukan komuniti dalam suasana harmoni dan menenangkan.
“Melihat program ini direalisasikan bagi menyokong inisiatif Sahabat Istimewa IWK menjadikannya lebih bermakna, sekali gus mengingatkan saya bahawa gaya hidup sihat bukan hanya bersifat peribadi, tetapi juga mampu memberi impak positif kepada komuniti”, kata Atilia Haron.

Penyanyi, penulis lirik lagu dan penggiat kesejahteraan, Atilia, Mimifly dan Hanis berkongsi visi yang sama dengan IWK dalam memperjuangkan nilai inklusif dan memperkasakan komuniti, sekali gus menyokong inisiatif Sahabat Istimewa IWK.
“Saya sentiasa berusaha menjadikan persembahan saya lebih inklusif dengan cara tersendiri, termasuk menggabungkan pergerakan berasaskan isyarat tangan yang diinspirasikan daripada bahasa isyarat dalam koreografi saya.
“Penglibatan dalam Sahabat Istimewa IWK menjadikannya lebih bermakna apabila pergerakan, muzik dan nilai inklusif dapat diraikan.
“Dengan kesedaran terhadap satu sama lain, kita melangkah maju ke hadapan bersama,” kata Mimifly.
Selain sesi senaman, para peserta juga berpeluang menikmati suasana meriah di ruang jualan yang menampilkan pelbagai vendor tempatan dengan produk artisan dan pelbagai barangan menarik, sekali gus memeriahkan lagi pengalaman para peserta dan komuniti sepanjang program berlangsung.
Program ini berakhir dengan penuh meriah menerusi persembahan istimewa daripada Mimifly dan Atilia Haron, melabuhkan tirai Rise & Revive dalam suasana yang penuh bertenaga.
Kejayaan Rise & Revive mencerminkan komitmen berterusan IWK menerusi program Sahabat Istimewa IWK dalam memperkasa inisiatif komuniti, di samping memupuk nilai keterangkuman, kebolehcapaian serta gaya hidup sihat untuk semua. – MalaysiaGazette
















