KUALA LUMPUR – MCA Selangor mempersoalkan kegagalan kerajaan negeri menyediakan hospital awam di kawasan Petaling Jaya meskipun Pakatan Harapan (PH) telah mentadbir Selangor selama lebih 18 tahun.
Pengerusi MCA Selangor, Datuk Ir. Lawrence Low berkata, penduduk di kawasan padat seperti Petaling Jaya, Subang dan Puchong terus bergantung kepada Hospital Shah Alam serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan kesihatan mampu bayar.
Malah katanya, penduduk di kawasan tersebut sekian lama berdepan kesukaran mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan kerajaan walaupun jumlah hospital swasta dilihat semakin bertambah di sekitar Petaling Jaya dan Subang.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga sebelum ini telah meluluskan kenaikan cukai taksiran pihak berkuasa tempatan sebanyak 25 peratus pada Januari tahun lalu, namun rakyat mempersoalkan manfaat kutipan itu sekiranya tidak disalurkan semula kepada kebajikan awam termasuk pembinaan hospital kerajaan.
Beliau turut menyifatkan alasan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung isu ketiadaan tanah sesuai dan kos tanah yang tinggi sebagai tidak meyakinkan.
“Mustahil Selangor sebagai negeri paling maju dan kaya tidak mampu menyediakan tanah untuk hospital kerajaan, sedangkan projek komersial terus berkembang pesat di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lawrence mendakwa, keadaan itu menunjukkan keutamaan kerajaan negeri lebih memihak kepada pembangunan komersial berbanding keperluan kesihatan rakyat.
Beliau turut mempersoalkan, mengapa isu pembinaan hospital awam di Petaling Jaya hanya dibangkitkan ketika negara semakin menghampiri Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Katanya, keperluan hospital kerajaan semakin mendesak memandangkan populasi penduduk di kawasan tersebut semakin menua dan ramai bakal berdepan cabaran kewangan selepas bersara, sekali gus menyukarkan mereka mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, isu kesihatan rakyat tidak seharusnya dijadikan bahan politik atau manifesto pilihan raya semata-mata.
Pada Februari lalu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon dilaporkan mengumumkan bahawa sebuah hospital kerajaan bakal dibina di kawasan Petaling Jaya.
Sehubungan itu, Lawrence berkata, rakyat Selangor berhak mendapat penjelasan berhubung percanggahan kenyataan antara pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan berkaitan status tanah bagi projek tersebut. – MalaysiaGazette
















