Seorang pemandu peribadi, Mohd Rafiq Zam, 23 dibawa oleh anggota polis atas pertuduhan melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ketika di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu peribadi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Bukit Damansara, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Rafiq Zam, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Terdahulu, tertuduh yang berbaju T-shirt hitam berseluar pendek tiba di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pagi ini dengan dikawal ketat sekumpulan anggota polis sebelum dibawa masuk ke kamar mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menculik kanak-kanak terbabit daripada jagaan sah bapanya yang bekerja sebagai pembekal barangan berkaitan pendingin hawa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Ilmu berhampiran sebuah kolej di Bukit Damansara antara jam 2.30 petang hingga 4.49 petang pada 19 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon supaya tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh manakala peguam tertuduh, P Suthes mahu anak guamnya dijamin.

Suthes memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan rendah atas alasan pertuduhan di bawah seksyen itu merupakan kesalahan yang boleh dijamin.

Hujahnya, anak guam beliau juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau selain berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya oleh mahkamah.

”Anak guam saya juga satu-satunya harapan keluarga kerana menjaga ibu yang mempunyai masalah penglihatan selepas kematian bapa.

“Manakala penjamin adalah adik kandung ibu anak guam berusia 41 tahun dan bekerja di sektor swasta dengan pendapatan kira-kira RM3,800 sebulan,” ujarnya.

Tambah Suthes, penjamin itu mampu memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

Pihak pendakwaan kemudian memohon syarat tambahan sekiranya jaminan dibenarkan termasuk larangan mengganggu mangsa dan keluarganya sepanjang kes berjalan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebelum setiap bulan.

Tertuduh turut dilarang mendekati saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan semula kes. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast