Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia pada majlis pengumuman hala tuju politik baharu di PJ Performing Arts Centre, One Utama. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mei 2026.

KUALA LUMPUR – Pengundi di Parlimen Pandan dijangka lebih cenderung memilih calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mewakili kerajaan berbanding Datuk Seri Rafizi Ramli sekiranya parti itu berjaya menampilkan figura yang tepat pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Misrinah Misban berkata, corak pengundian di kawasan bandar seperti Pandan lazimnya dipengaruhi pertimbangan nasional termasuk kestabilan politik, ekonomi dan jaminan masa depan.

Menurut beliau, Rafizi sememangnya mempunyai kelebihan dalam mencetuskan gelombang politik, membangkitkan semangat reformasi serta membina persepsi sebagai pemimpin yang membawa idea baharu.

“Namun, akhirnya pengundi tidak hanya menilai siapa paling lantang bercakap mengenai perubahan, sebaliknya siapa yang benar-benar mampu menterjemahkan perubahan ketika berada dalam kuasa.

“Jika PKR berjaya mengetengahkan figura lebih tenang, meyakinkan, mesra komuniti bandar serta mampu bekerjasama dengan kerajaan, maka sebahagian besar pengundi Cina dijangka melihat pilihan itu sebagai lebih stabil dan selamat untuk masa depan ekonomi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Misrinah berkata, dakwaan bahawa Parti Bersama Malaysia (Bersama) memiliki kira-kira 15 peratus keahlian daripada masyarakat Cina tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan besar di peti undi.

Katanya, pengundi Cina kebiasaannya tidak mudah terikat dengan sentimen politik semata-mata kerana mereka lebih menilai soal kestabilan ekonomi, peluang perniagaan dan akses kepada pembangunan.

“Persoalan utama yang akan bermain dalam fikiran pengundi ialah apakah ketika Rafizi berada dalam kerajaan sebagai Menteri Ekonomi, ada perubahan besar yang benar-benar dirasai rakyat?

“Adakah dasar yang diperkenalkan memberi impak signifikan kepada kos sara hidup, peluang ekonomi dan kestabilan yang dekat dengan denyut nadi pengundi bandar khususnya masyarakat Cina?” soalnya.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu selain tekanan perang tarif, ketidakstabilan geopolitik dan persaingan serantau yang semakin sengit, pengundi cenderung memilih kesinambungan pentadbiran berbanding simbol protes politik.

Menurutnya, nostalgia reformasi mungkin masih mempunyai pengaruh, namun ia semakin terhakis apabila berdepan realiti kehidupan harian rakyat yang mahukan kestabilan dan manfaat nyata.

“Ini menjadi cabaran terbesar Rafizi di Pandan kerana beliau mungkin masih mampu menguasai pentas ceramah, tetapi majoriti pengundi senyap khususnya pengundi Cina mula bersikap sinikal.

“Mereka bertanya, jika ketika berada dalam kerajaan pun tiada perubahan besar berjaya dibawa, bagaimana beliau mahu menawarkan sesuatu yang lebih besar sebagai pembangkang,” katanya.

Baru-baru ini, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan Parlimen Pandan dijadikan kawasan angkat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.

Untuk rekod, Parlimen Pandan mempunyai komposisi pengundi masing-masing 46 peratus Melayu dan Cina serta tujuh peratus India.

Rafizi kembali merampas Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas menang besar dengan majoriti 48,296 undi dalam persaingan lima penjuru.

Calon Pakatan Harapan (PH) itu memperoleh 74,002 undi untuk menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Farique Zubir Albakri yang mendapat 25,706 undi, sekali gus mengekalkan Pandan sebagai kubu kuat PH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast