Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa kerajaan melaksanakan langkah kecemasan bagi menyelamatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang didakwa semakin terhimpit akibat krisis ekonomi global dan tekanan kos operasi yang memuncak.

Beliau berkata, tindakan segera perlu dilakukan bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan pekerjaan memandangkan sektor PMKS menggaji kira-kira 48.7 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara pada tahun 2024.

Menurutnya, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk mewujudkan peluang pekerjaan alternatif termasuk memperluaskan latihan kemahiran dalam teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI), kerajaan tidak boleh mengabaikan nasib PMKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Seramai 7,057 pekerja kehilangan pekerjaan pada April 2026, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 pekerja pada Mac lalu. Jika PMKS gagal diselamatkan, jumlah kehilangan pekerjaan dijangka bertambah lebih buruk,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Guan Eng berkata, laporan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menunjukkan sektor pembuatan negara kini berdepan krisis yang semakin meruncing apabila 68 peratus syarikat mengalami tekanan aliran tunai, manakala 13 peratus daripadanya berada pada tahap kritikal sehingga menjejaskan kemampuan membayar pembekal.

Beliau turut mendakwa kerajaan belum melakukan secukupnya untuk membantu PMKS menghadapi kenaikan harga minyak, gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos logistik serta ketidaktentuan harga bahan mentah yang menekan operasi syarikat.

Menurut beliau, Kemudahan Bantuan Penstabilan PMKS Bank Negara Malaysia bernilai RM5 bilion perlu ditambah baik dengan menyediakan pinjaman tanpa faedah dan tanpa cagaran bagi RM50,000 pertama kepada PMKS yang terkesan.

“Kerajaan juga perlu melaksanakan moratorium pembayaran faedah selama setahun bagi semua pinjaman sedia ada PMKS bagi memberi ruang kepada syarikat untuk terus bertahan dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” katanya.

Selain itu,Guan Eng turut mencadangkan supaya kerajaan menggantung peluasan cukai dan keperluan pematuhan termasuk penangguhan kenaikan SST, menaikkan ambang pelaksanaan e-invois kepada syarikat dengan jualan tahunan melebihi RM5 juta serta menggantung caruman KWSP dua peratus bagi pekerja asing.

Beliau turut menggesa proses pengambilan pekerja asing dipermudah menerusi sistem permohonan dalam talian yang lebih cekap dan telus selain mencadangkan pelaksanaan dasar mewajibkan sekurang-kurangnya 50 peratus pembelian produk tempatan oleh pelabur asing dan domestik bagi melindungi PMKS daripada persaingan tidak adil syarikat luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast