Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – Nama Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak disifatkan sebagai antara individu yang kekal setia bersama perjuangan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berdepan pelbagai cabaran politik sejak sekian lama.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Nor Syamimi Mohamed Adnan berkata, Farhash sebelum ini mempunyai latar belakang perniagaan yang berjaya sebelum aktif sepenuhnya dalam dunia politik.

Menurut beliau, penglibatan Farhash dalam PKR dilihat bukan semata-mata untuk mengejar kedudukan atau kekayaan, sebaliknya didorong keyakinan terhadap agenda reformasi yang diperjuangkan Anwar.

“Seperti mana-mana tokoh politik lain, penilaian terhadap Farhash juga mempunyai pelbagai pandangan.

“Ada yang menghargai kesetiaan dan sumbangannya kepada perjuangan reformasi, manakala ada juga yang mengkritik beberapa kontroversi yang pernah dikaitkan dengannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejarah serta sumbangan Farhash perlu dinilai secara adil berdasarkan fakta, rekod perkhidmatan dan peranan yang pernah dimainkan dalam parti.

“Oleh itu, sejarah dan sumbangan beliau wajar dinilai secara adil berdasarkan fakta, rekod perkhidmatan, serta sumbangan yang telah diberikan kepada parti dan negara,” katanya.

Baru-baru ini, nama bekas Setiausaha Politik Anwar itu kembali menjadi perhatian apabila Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti menggunakan istilah ‘sakau’ selagi isu berkaitan Farhash tidak dijelaskan.

Mengulas lanjut, Nor Syamimi berkata, perjalanan politik beberapa tokoh yang pernah berada dalam kelompok reformasi menunjukkan hala tuju berbeza selepas mencapai kedudukan tertentu dalam politik negara.

Sebagai contoh, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali katanya dilihat semakin rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan pernah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada bekas Perdana Menteri itu ketika kemuncak krisis politik pada 2020.

“Begitu juga dengan Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengambil keputusan berehat daripada politik aktif selepas PRU14 dan memberi tumpuan kepada kerjaya korporat serta perniagaan.

“Beliau sendiri pernah menjelaskan keputusan itu dibuat kerana kecewa dengan perkembangan politik dalaman selain memerlukan masa untuk memulihkan semangat sebelum kembali aktif dalam politik,” katanya.

Tambah Nor Syamimi, dalam landskap politik yang sentiasa berubah, kesetiaan seseorang pemimpin terhadap perjuangan asal yang dibawa sejak awal pembabitan mereka sering menjadi antara ukuran yang dinilai oleh penyokong dan pemerhati politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast