BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja warga Indonesia maut selepas dihempap runtuhan konkrit ketika menjalankan kerja pembinaan sebuah bangunan di Jalan Guar Perahu Indah di sini, hari ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Marzuki, 27, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.55 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti tiba di lokasi lapan minit kemudian.
Katanya, mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian.
“Komander Operasi kemudiannya melakukan penilaian risiko sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja penyelamatan dan mengalihkan mangsa ke kawasan selamat.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah kenyataan itu, operasi ditamatkan pada jam 5.05 petang setelah tiada bahaya susulan dikesan di lokasi. – MalaysiaGazette
















