Kerjasama dimeterai menerusi MoU yang ditandatangani pengasas Yayasan Chow Kit, Datuk Dr. Hartini Zainudin dan Pengarah Atomy Malaysia, Anna Kim, dalam satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Nasib kanak-kanak daripada komuniti rentan di ibu negara terus mendapat perhatian menerusi inisiatif kebajikan bagi memenuhi keperluan asas termasuk aspek pemakanan, kebersihan diri dan penjagaan kesihatan.

Usaha tersebut digerakkan menerusi kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara Atomy Malaysia dan Yayasan Chow Kit yang menyaksikan sumbangan bernilai RM150,000 disalurkan dalam bentuk tunai, produk serta sokongan program.

Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pengasas Yayasan Chow Kit, Datuk Dr. Hartini Zainudin dan Pengarah Atomy Malaysia, Anna Kim, dalam satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada peningkatan kesejahteraan harian kanak-kanak yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan, khususnya mereka yang memerlukan sokongan berterusan dalam aspek penjagaan diri dan kesihatan.

Bagi kebanyakan kanak-kanak daripada latar belakang kurang bernasib baik, akses kepada keperluan asas seperti berus gigi, produk kebersihan diri dan makanan berkhasiat bukan sahaja membantu menjaga kesihatan, malah mampu meningkatkan keyakinan diri serta kualiti hidup mereka.

Usaha tersebut digerakkan menerusi kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara Atomy Malaysia dan Yayasan Chow Kit yang menyaksikan sumbangan bernilai RM150,000 disalurkan dalam bentuk tunai, produk serta sokongan program.

Melalui kerjasama itu, bantuan yang disalurkan akan diagihkan dengan pemantauan Yayasan Chow Kit yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan kebajikan dan perlindungan kanak-kanak.

Turut diperkenalkan ialah program amal “Buy One, Donate One” yang membolehkan sumbangan produk kebersihan diri disalurkan terus kepada kanak-kanak yang memerlukan menerusi yayasan tersebut.

Bagi setiap pembelian Cleansing Travel Kit atau Kids Toothbrush, Atomy Malaysia akan menyumbangkan satu unit tambahan terus kepada Yayasan Chow Kit.

Pendekatan itu secara tidak langsung membuka ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama menyumbang dan berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang bernasib baik.

Menurut pihak penganjur, inisiatif berkenaan bukan sekadar menyalurkan bantuan segera, tetapi juga bertujuan mewujudkan impak jangka panjang terhadap kesejahteraan kanak-kanak yang berdepan pelbagai cabaran sosial dan ekonomi.

Sehingga kini, Atomy Malaysia dilaporkan telah menyumbang kira-kira RM7.5 juta kepada komuniti yang memerlukan menerusi pelbagai program kebajikan dan tanggungjawab sosial korporat.

Kerjasama antara sektor korporat dan pertubuhan kebajikan seperti ini dilihat mampu memperkukuh jaringan sokongan masyarakat, sekali gus memastikan lebih ramai kanak-kanak rentan dapat dibantu dari pelbagai aspek kehidupan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast