Operasi pemadaman api masih dijalankan ketika ini.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki dilaporkan maut dalam kebakaran di pusat hiburan di Bangunan Odeon di Jalan Penang di sini hari ini.

Bagaimanapun, difahamkan premis berkenaan tidak beroperasi kerana sedang menjalani kerja-kerja pembaikan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan seorang lelaki dipercayai warga asing maut dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.50 malam.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai bersama bantuan BBP Jalan Perak, BBP Bayan Baru dan BBP Paya Terubong telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Jentera pertama tiba di tempat kejadian pada pukul 9 malam, kira-kira dua kilometer dari balai sebelum mendapati kebakaran melibatkan sebuah kedai dua tingkat Kelas A dengan anggaran keluasan bangunan 50 x 300 kaki persegi.

Premis berkenaan tidak beroperasi ketika kejadian.

“Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran semasa adalah sebanyak 50 peratus. Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menjalankan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman serta dibantu oleh pasukan berhampiran,” katanya.

Tambah kenyataan itu, seramai 25 anggota termasuk penyelia terbabit dalam operasi berkenaan dengan kekuatan enam jentera serta sebuah unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah Aerial Ladder Platform (ALP).

“Operasi pemadaman masih diteruskan ketika ini dan perkembangan lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast