Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar (tengah) ketika bergambar selepas presentasi berkaitan Kajian Impak Baucar Buku Guru Madani 2025 di Pentas Utama di Pusat Dagangan Dunia, WTC Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 31 MEI 2026

​KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Baucar Buku Madani mencatatkan kejayaan luar biasa apabila merekodkan kadar penebusan sepenuhnya.

Ia sekali gus membuktikan keberkesanan sistem digital dalam memastikan bantuan tersebut sampai kepada sasaran tanpa sebarang ketirisan.

​Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar berkata, penggunaan platform dalam talian sepenuhnya menjadi benteng utama dalam mengawal selia setiap ringgit dana awam daripada disalahgunakan.

“Menurutnya, penggunaan platform dalam talian sepenuhnya melalui Book Capital terbukti berjaya sebagai benteng dalam mengawal selia dana awam, sekali gus menyaksikan kira-kira 430,000 guru memanfaatkan peruntukan mereka secara bijak.

“​Langkah mengehadkan transaksi pembelian hanya di platform digital rasmi ini bertujuan menyekat sebarang ruang penyalahgunaan dan ketirisan yang sering berlaku dalam kaedah konvensional sebelum ini,” katanya selepas sesi pembentangan kajian impak Perbadanan Kota Buku di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Katanya, sistem digital secara terpusat ini bertindak sebagai pemudah cara yang menghubungkan para pengguna dengan ekosistem industri perbukan secara cekap dan telus.

​”Kita tidak membuka kepada platform lain kerana 1,200 pembekal sudah berdaftar yang mana PKB menjadi memudahkan cara.

“Cara ini meningkatkan efisien dan ini mudah untuk pihak PKB mendapatkan angka yang tepat.

“Sebelum ini, terdapat kes-kes ketirisan, yang mada ada tukarkan dengan wang ataupun membawa kepada bahan-bahan lain di luar daripda dunia perbukuan.

“Ini yang kita tidak mahu, baucar buku adalah untuk buku.

“Kalau kita kata nak lahirkan pembaca baharu, nak memperdayakan masyarakat, nak pastikan semua orang membaca, kita mesti pastikan setiap RM1 itu pergi kepada buku,” katanya lagi.

Jelasnya, pemerhatian PKB juga mendapati wujud cubaan untuk lakukan perkara sama, tetapi tindakan awal telah diambil.

“Ia berlaku ketika awal-awal dulu, kita pastikan penebusan hanya boleh berlangsung di dalam talian. Kalau baucar fizikal di luar, kita tidak boleh tahu buku apa, siapa baca apa,” katanya lagi.

Sementara itu, rata-rata penerima baucar buku bernilai RM100 itu bersetuju pemberian ini diteruskan namun berharap jumlah itu akan dinaikkan.

Bagi guru Pendidikan Islam & Bahasa Arab dari Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan, Nik Ab Malek Nik Hussein berkata, sebagai pendidik, golongan guru sememangnya perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa sama ada dari sudut ilmu mahupun pengetahuan am semasa melalui amalan membaca.

Nik Ab Malek Nik Hussein mengenai penerimaan Baucar Buku MADANI pada program Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 31 MEI 2026.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kerana kerajaan sentiasa membantu kami dengan memberikan baucar ini. Cuma, klau boleh, kadar Baucar Buku Madani dinaikkan kepada jumlah yang lebih besar, contohnya RM300 atau RM500.

“Ini supaya kami para pendidik dapat mempelbagaikan lagi pembelian buku kerana keperluan semasa menuntut guru-guru melengkapkan diri dengan perkembangan teknologi hari ini yang mana semua itu memerlukan kos,” katanya.

​Mengulas mengenai pelaksanaan program sedia ada, Nik Ab Malek berkata, inisiatif baucar buku sebagai langkah yang sangat bagus dalam membantu meningkatkan pengetahuan serta profesionalisme keguruan.

​Bagi pelajar tingkatan lima yang juga bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, Nik Husna Widad Nik Ab Malek berkata, bantuan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembiayaan bahan bacaan sokongan demi melonjakkan prestasi akademiknya.

Nik Husna Widad Nik Ab Malek mengenai penerimaan Baucar Buku MADANI pada program Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 31 MEI 2026.

​”Sepanjang tiga tahun menggunakan baucar buku yang diberi, saya gunakan untuk membeli buku rujukan serta buku latihan khususnya pada tahun ni, sebagai persediaan menghadapi SPM, tentu saya memerlukan lebih banyak buku latihan.

“Jadi, saya sangat berterima kasih atas baucar yang diberi, insya-Allah dapat membantu saya untuk mendapat keputusan yang terbaik untuk SPM,” katanya. – MalaysiaaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast