MELAKA – Salah faham dan tuduh-menuduh terhadap keluarga suspek disyaki menjadi motif pembunuhan mayat yang ditemukan dibungkus dan diikat sebelum dibalut dengan tilam di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, perkembangan siasatan kes juga mendapati mangsa dipercayai adalah rakan kepada suspek, lelaki berusia 40-an yang ditahan polis, empat jam selepas kejadian terbongkar.
Menurut beliau, pembunuhan yang disedari pemilik premis pukul 7 malam itu dipercayai berlaku selepas tercetus pergaduhan antara kedua-dua mereka ketika menghisap dadah.
“Motif pembunuhan dipercayai berlaku pergaduhan ekoran salah faham dan tuduh-menuduh terhadap keluarga suspek semasa suspek dan mangsa menghisap dadah.
“Siasatan juga mendapati, mangsa dipercayai merupakan rakan kepada suspek yang telah ditahan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar
Bagaimanapun, beliau berkata, identiti mangsa masih belum dapat disahkan dan tertakluk kepada proses perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA) dengan ahli keluarga.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 29 Mei hingga 4 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan sebarang maklumat berkaitan kejadian disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan V Somsundram di talian 017-6954714,” tambahnya.
Pada 29 Mei lalu, MalaysiaGazette melaporkan penemuan mayat dalam keadaan mereput di tingkat satu sebuah rumah kedai di kawasan Pokok Mangga selepas pemilik premis terhidu bau busuk ketika membuat pemeriksaan di bangunan berkenaan.
Pemeriksaan polis selepas menerima maklumat itu pada jam 7 petang Khamis lalu kemudiannya menemukan mayat yang dipercayai telah meninggal dunia antara dua minggu hingga sebulan lalu.
Mayat itu ditemukan dibungkus dalam lipatan tilam dengan kedua-dua tangan dipercayai diikat sekali gus menimbulkan syak wujud unsur jenayah.
Susulan penemuan itu, polis menahan seorang lelaki Melayu berusia lingkungan 40-an yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu selain mempunyai tujuh rekod jenayah lampau. – MalaysiaGazette
















