MAKKAH – Sistem integrasi yang diwujudkan antara Lembaga Tabung Haji (TH) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membolehkan urusan pendaftaran kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci dilaksanakan dengan lebih cepat dan efisien.
Ketua Unit Pendaftar Kelahiran/Kematian (Pendaftar Hedjaz) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Salasiah Masron berkata, sistem tersebut membolehkan maklumat kematian yang diterima di Arab Saudi disalurkan terus kepada JPN di Malaysia untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, urusan berkenaan dilaksanakan di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Peruntukan-Peruntukan Khas) 1975 [Akta 152], yang memperuntukkan pendaftaran kelahiran dan kematian jemaah haji Malaysia yang berdaftar dengan TH.
Menurutnya, kerjasama erat antara JPN dan TH, khususnya pihak maktab serta Unit Perhubungan Hospital, membantu mempercepatkan proses pendaftaran kerana kebanyakan dokumen yang diterima telah lengkap dengan maklumat serta dokumen sokongan yang diperlukan.
“Unit Perhubungan Hospital perlu mendaftar kematian dalam tempoh 48 jam. Sebaik sahaja kami menerima laporan kematian di Tanah Suci, kami mendaftarkannya dan merekodkan semua maklumat berkaitan dalam masa 24 jam sebelum dihantar ke Ibu Pejabat JPN.
“Melalui integrasi Sistem Tabung Haji dan Sistem Kematian Hedjaz JPN, maklumat boleh diterima terus oleh JPN di Malaysia tanpa perlu melalui proses manual seperti sebelum ini,” katanya kepada media di sini.
Jelas beliau, apabila sijil kematian sudah tersedia, JPN akan menghubungi waris yang didaftarkan dalam sistem TH dan mengenal pasti pejabat JPN yang paling mudah untuk waris mendapatkan sijil tersebut di mana-mana di seluruh negara.
Sijil kematian ini penting untuk pelbagai urusan termasuk tuntutan insurans, faraid dan pengurusan harta pusaka, ujar Salasiah.
Katanya, sebelum tahun 2013, proses tersebut mengambil masa lebih lama kerana semua dokumen perlu diimbas dan dihantar secara manual menerusi e-mel sebelum diproses di Malaysia.
“Sekarang dokumen yang diimbas hanya digunakan sebagai dokumen sokongan kerana sistem sudah beroperasi secara berintegrasi sepenuhnya,” katanya.
Bagi musim haji 1447H, dua pegawai JPN ditempatkan di Tanah Suci, masing-masing di Makkah dan Madinah, bagi memastikan semua urusan berkaitan kematian jemaah dapat diuruskan dengan lancar.
Salasiah turut menjelaskan wujud perbezaan pengurusan kematian semasa musim haji dan di luar musim haji.
Menurutnya, ketika musim haji terdapat petugas pendaftar Hedjaz di Tanah Suci, namun bagi jemaah umrah urusan perlu dilakukan melalui pihak konsulat.
Mengulas pengalaman pertamanya bertugas sebagai Pendaftar Hedjaz di Tanah Suci, Salasiah mengakui kes kematian pertama yang dikendalikannya musim ini memberi kesan emosi yang mendalam.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengalaman tersebut mengajarnya untuk lebih tenang dan profesional dalam melaksanakan amanah bagi memastikan setiap urusan melibatkan jemaah serta waris dapat diselesaikan sebaik mungkin.
“Apabila berhadapan dengan situasi ini, saya kembali kepada qadak dan qadar bahawa semuanya adalah ketentuan Allah SWT. Tugas kami adalah memastikan urusan yang ditinggalkan dapat diuruskan dengan lancar dan waris menerima bantuan yang diperlukan,” katanya. – MalaysiaGazette
















