Tangkap layar video tular MB Perlis menembak seekor lembu korban pada majlis korban sempena Aidiladha.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam melahirkan rasa kecewa dengan sikap berdiam diri Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) berhubung insiden tular melibatkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah yang melepaskan tembakan ke arah seekor lembu ketika ibadah korban sempena Aidiladha baru-baru ini.

Menurutnya, insiden itu mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia, bukan sahaja berkaitan aspek keselamatan awam dan pematuhan undang-undang, malah turut melibatkan isu kebajikan haiwan serta kaedah pengendalian ternakan yang sewajarnya.

Kata beliau, sebagai badan profesional utama yang mewakili pengamal veterinar di negara ini, MAVMA tidak seharusnya terus berdiam diri apabila berdepan satu insiden yang mendapat perhatian meluas masyarakat.

Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam

Ujarnya, MAVMA mempunyai tanggungjawab profesional dan moral untuk memberikan pandangan serta penjelasan berdasarkan kepakaran mereka dalam aspek kebajikan haiwan dan amalan veterinar yang baik.

“Masyarakat berhak mengetahui sama ada tindakan yang dipaparkan dalam video tular tersebut selaras dengan prinsip kebajikan haiwan, prosedur pengendalian ternakan yang diterima pakai serta piawaian profesional veterinar.

“MAVMA juga wajar memberikan pandangan sama ada terdapat alternatif lain yang lebih sesuai dan kurang ekstrem dalam mengawal keadaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Dr. Lingeshwaran, kegagalan MAVMA untuk menyatakan pendirian secara terbuka dalam isu itu boleh menimbulkan persepsi bahawa badan profesional tersebut tidak bersedia untuk bersuara apabila sesuatu insiden melibatkan individu yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Ujarnya, integriti dan kredibiliti sesebuah badan profesional bergantung kepada keberaniannya untuk mempertahankan prinsip serta standard profesional tanpa mengira kedudukan mana-mana pihak.

“Sehubungan itu, saya menyeru MAVMA agar mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden ini.

“Sekiranya terdapat asas yang munasabah bahawa mana-mana peruntukan undang-undang berkaitan kebajikan haiwan telah dilanggar, MAVMA juga wajar membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa supaya siasatan yang telus, bebas dan menyeluruh dapat dijalankan,” katanya.

Tegas beliau, tiada siapa yang boleh dianggap kebal daripada penelitian awam apabila timbul persoalan yang sah mengenai kebajikan haiwan, keselamatan awam dan pematuhan kepada undang-undang.

Ujarnya, rakyat Malaysia berhak mendapat penjelasan, akauntabiliti dan jaminan bahawa prinsip kebajikan haiwan akan sentiasa dipertahankan tanpa mengira siapa yang terlibat.

Terdahulu, polis mengesahkan merampas selaras senapang dan sembilan butir peluru dipercayai digunakan dalam insiden tembakan terhadap seekor lembu yang mengamuk di Kuala Perlis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) kerana melepaskan tembakan di tempat awam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tembakan itu dilepaskan selepas lembu berkenaan mengamuk dan didakwa mengancam keselamatan petugas serta orang awam di lokasi program. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast