Tangkap layar hantaran tular seorang pengguna media sosial yang mendakwa dihalang peniaga daripada meletakkan kenderaan di petak parkir awam di hadapan sebuah premis kraftangan berhampiran Taman Botanikal, Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA – Peniaga kraftangan di Melaka diingatkan supaya tidak meletakkan objek yang boleh menghalang penggunaan petak parkir awam di hadapan premis mereka.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Haron berkata, petak parkir berwarna putih di hadapan deretan premis perniagaan merupakan kemudahan awam yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

“Memang kalau petak bergarisan putih seperti dalam gambar tular itu adalah petak parkir awam dan sesiapa pun boleh parkir di situ.

“Sebelum ini peniaga di situ telah diberikan notis supaya tidak meletakkan barang di atas petak tersebut, tapi kami akan pantau semula isu ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sapiah Haron

Menurut beliau, tindakan menghalang penggunaan petak parkir awam boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu

“MPHTJ mempunyai kuasa mengeluarkan kompaun sehingga RM300 terhadap pihak yang melakukan halangan di kawasan awam mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Kita boleh kompaun RM300. Sebelum ini kita tidak kompaun dan hanya beri notis tapi kalau sudah beberapa kali diberi notis dan masih ingkar, kita akan keluarkan kompaun,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hantaran tular seorang pengguna media sosial yang mendakwa dihalang peniaga daripada meletakkan kenderaan di petak parkir di hadapan sebuah premis kraftangan berhampiran Taman Botanikal, di sini.

Dakwa individu berkenaan, banyak petak parkir kosong di hadapan deretan kedai diletakkan pelbagai objek bagi menghalang orang awam menggunakan kemudahan tersebut.

Pengguna itu turut mendakwa mereka cuba meletakkan kenderaan di salah satu petak kosong berkenaan sebelum didatangi seorang peniaga yang menghalang tindakan tersebut dan memaklumkan parkir itu tidak boleh digunakan.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang mempersoalkan tindakan segelintir peniaga menjadikan petak parkir awam seolah-olah milik persendirian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast