Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing mempersoalkan perkembangan siasatan polis berhubung satu laporan yang dibuatnya hampir sebulan lalu berkaitan video tular mengandungi dakwaan serius terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador.

Menurut Albert, beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5 Mei lalu berhubung rakaman video berdurasi 48 saat yang mula tular di media sosial sejak 22 April lepas.

Katanya, video tersebut memaparkan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong yang mendakwa Anwar mengarahkan Farhash menghantar wang yang didakwa diseleweng ke beberapa negara termasuk di Afrika dan Turki.

Albert berkata, wanita itu turut membuat tiga dakwaan yang disifatkannya sebagai sangat serius iaitu kononnya Anwar menyeleweng wang berjumlah berbilion ringgit, Farhash telah menjadi warganegara Turki, serta Anwar akan melarikan diri ke Afrika atau Turki sekiranya berlaku sesuatu terhadap dirinya.

Menurut beliau, sekiranya dakwaan yang dibuat Sofia tidak berasas, tidak benar atau berunsur fitnah, tindakan undang-undang sewajarnya telah diambil terhadap individu berkenaan.

“Sekiranya dakwaan Sofia mempunyai niat jahat untuk merosakkan reputasi Anwar dan Farhash, mengapa beliau masih belum didakwa di mahkamah atas kesalahan fitnah?” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Albert turut meluahkan kekeliruan terhadap perkembangan siasatan polis yang menurutnya masih belum menunjukkan sebarang tindakan jelas meskipun laporan telah dibuat hampir sebulan lalu.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat apabila tiada tindakan saman difailkan oleh pihak yang dinamakan dalam video tersebut, manakala siasatan polis juga dilihat belum mencapai sebarang keputusan yang diketahui umum.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis menjalankan siasatan secara bebas, telus dan tegas bagi mengelakkan timbulnya pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat berhubung isu berprofil tinggi tersebut.

“Demi mengelakkan pelbagai spekulasi di kalangan masyarakat, saya menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas dan bebas terhadap kes ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast