KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan ketika ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menyempurnakan tanggungjawab mentadbir negara dan tidak melihat keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dalam masa terdekat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Parlimen akan dibubarkan bagi membolehkan PRU-16 diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin lalu.
Menurut Anwar, keputusan pembubaran DUN berkenaan adalah hak dan pertimbangan pihak terbabit, manakala Kerajaan Persekutuan mempunyai keutamaan tersendiri yang perlu diberikan perhatian.
“Ia adalah keputusan mereka (Barisan Nasional Johor). Kami mempunyai keutamaan kami.
“Kami fokus pada kerja kami,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
Pada Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubabaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Katanya, pembubaran DUN itu dilakukan setelah mengadap dan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Beliau berkata, pembubaran itu dibuat bagi memberi laluan kepada proses demokrasi melalui PRN Johor, tertakluk kepada penetapan rasmi tarikh penamaan calon dan hari pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – MalaysiaGazette
















