SEPANG – Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh kanak-kanak berusia 1 tahun 11 bulan pada 18 Mei yang lalu.
Nur Syuhaida Jamaluddin, 33, dituduh dengan niat membunuh Dhiya Falisha Mustaqim hingga menyebabkan kanak-kanak asuhannya itu meninggal dunia di Apartment Kiambang, Taman Putra Perdana.
Sehubungan itu, wanita itu berdepan dengan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika disabit kesalahan, Nur Syuhaida berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun termasuk 12 kali jika tidak dihukum gantung.
Walaubagaimanapun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes tersebut di bawah bidang mahkamah tinggi.
Majistret, Khairatul Animah Jelani kemudian menetapkan sebutan kes pada 14 Julai ini.
Terdahulu, kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim. – MalaysiaGazette
















