MELAKA – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak akan dibubarkan dalam masa terdekat meskipun Johor dan Negeri Sembilan telah mengambil langkah berkenaan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri masih mempunyai beberapa urusan pentadbiran dan agenda berkaitan kebajikan rakyat yang perlu diselesaikan sebelum sebarang keputusan mengenai pembubaran DUN dibuat.
“Kita akan terus menjalankan urusan kerajaan bagi menyantuni hal ehwal rakyat sehingga satu tarikh yang akan diumumkan secara rasmi.
“Kita juga akan menghantar jentera untuk membantu pilihan raya di kedua-dua negeri itu dan selepas keputusan pilihan raya tersebut barulah kita fikirkan waktu yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis doa selamat kepulangannya dari menunaikan ibadah haji di kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini malam ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tarikh tamat DUN Melaka ialah pada 30 Disember 2026 dan menuju ke tarikh itu, DUN boleh dibubarkan pada bila-bila masa.
“Namun suasana dan keadaan di Johor tidak sama dengan Melaka, begitu juga keadaan di Negeri Sembilan yang tidak memerlukan Melaka membubarkan DUN dalam keadaan segera.
“Sehingga hari ini saya belum mendapat ilham bila lagi nak dibubarkan DUN Melaka,” katanya.
Beliau turut menegaskan, tidak berdepan sebarang tekanan daripada mana-mana pihak supaya DUN Melaka dibubarkan lebih awal.
“Saya tidak tertekan dengan mana-mana pihak yang mendesak supaya Melaka membubarkan DUN kerana saya mempunyai perkiraan dan aturan yang perlu diselesaikan mengikut pentadbiran kerajaan.
“Kita tak nak melihat mengikut muzik yang dimainkan oleh orang lain. Kita tak akan menari mengikut muzik mereka. Rentak mereka, rentak mereka. Rentak Melaka, rentak Melaka,” katanya.
Bagaimanapun ketika ditanya kemungkinan Melaka mengadakan pilihan raya serentak dengan negeri lain, beliau tidak menolak perkara itu.
“Politik ini the art of one thousand and one possibility, seni seribu satu kemungkinan. Apa pun, tunggu dan lihat,” katanya. – MalaysiaGazette
















