SEREMBAN – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang diumumkan lewat malam tadi berdepan cabaran baharu apabila Undang Yang Empat dan Tengku Besar Tampin secara rasmi mengemukakan bantahan terhadap tindakan tersebut.
Surat yang dilihat MalaysiaGazette menunjukkan bantahan dihantar melalui peguam yang mewakili Undang Yang Empat serta Tengku Besar Tampin kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), MK Ibrahim Abd Rahman.
Menerusi surat berkenaan, mereka membantah sekeras-kerasnya pembubaran DUN yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kira-kira pukul 11 malam tadi di kediaman rasmi beliau.
Menurut surat itu, sehingga tarikh ia dikeluarkan, tiada sebarang persetujuan diberikan terhadap pembubaran DUN yang diumumkan.
Malah mereka mendakwa tindakan berkenaan merupakan pelanggaran nyata terhadap beberapa peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan termasuk Fasal 56(2), Fasal 38(4) serta Fasal 28(1) dan (2).
“Perkara ini jelas terjumlah kepada satu pelanggaran nyata terhadap peruntukan-peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
“Oleh itu, sekiranya pembubaran DUN diteruskan, ia akan menimbulkan pelbagai implikasi undang-undang termasuk keabsahan keputusan pilihan raya dan sebagainya,” menurut kandungan surat itu.
Sehubungan itu, Undang Yang Empat dan Tengku Besar Tampin menggesa Speaker Dewan Negeri mengambil langkah pembetulan yang tegas dan wajar dengan segera bagi memastikan kedaulatan undang-undang serta prinsip perlembagaan negeri terus dihormati.
Mereka turut menyatakan keyakinan Yang Dipertua DUN akan bertindak berlandaskan peruntukan undang-undang yang menjadi asas sistem pemerintahan Negeri Sembilan.
Perkembangan terbaharu itu dilihat menambah ketegangan dalam krisis perlembagaan yang sedang melanda Negeri Sembilan susulan pertikaian berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan kuasa Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Lewat malam tadi, Aminuddin mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan selepas memaklumkan beliau memperoleh perkenan untuk berbuat demikian bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media khas di kediaman rasmi Menteri Besar selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada sebelah malam.
Bagaimanapun, bantahan rasmi yang dikemukakan oleh Undang Yang Empat dan Tengku Besar Tampin kini membuka satu lagi dimensi baharu dalam kemelut berkenaan apabila kesahihan pembubaran DUN itu sendiri mula dipersoalkan. – MalaysiaGazette
















