JOHOR BAHRU – Johor kini muncul sebagai antara pusat pertumbuhan ekonomi paling dinamik di rantau ini dengan pelaksanaan pelbagai projek strategik berimpak tinggi, termasuk pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, perkembangan pesat itu menuntut kewujudan ekosistem sokongan industri yang lebih canggih, pantas dan berdaya saing.
Jelasnya, ini bagi menarik kemasukan pelaburan berkualiti tinggi serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan.
“Dalam konteks ini, Jabatan Kimia Malaysia (Kimia) Johor memainkan peranan yang semakin penting bukan sahaja sebagai makmal forensik jenayah, malah sebagai pemacu utama dalam memperkukuh ekosistem perindustrian dan melindungi kepentingan strategik negeri.
“Di sinilah peranan Kimia Johor menjadi sangat kritikal. Jabatan ini bukan sekadar makmal forensik jenayah, sebaliknya merupakan enjin penggerak dan pelindung kepada ekosistem perindustrian negeri,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Majlis Perasmian Bangunan Tambahan Jabatan Kimia Malaysia (Kimia) Johor di Jabatan Kimia Negeri Johor, di sini hari ini.
Katanya, dengan kapasiti baharu yang dimiliki, Kimia Johor dijangka mampu meningkatkan kecekapan analisis saintifik serta mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelbagai sektor yang memerlukan kepakaran teknikal.
Menurutnya, selain menyokong aktiviti penguatkuasaan undang-undang, jabatan itu turut berfungsi sebagai rakan strategik kepada industri menerusi penyediaan perkhidmatan analisis dan pengujian yang membantu menjamin pematuhan standard keselamatan, kualiti dan alam sekitar.
Lih Kang berkata, sinergi antara Kimia Johor dengan agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan akan menjadi lebih jitu, pantas dan berkesan.
Tambahnya, kerjasama rentas agensi itu diyakini dapat mempertingkat keberkesanan siasatan forensik, pengesanan bahan berbahaya, pemantauan alam sekitar serta penguatkuasaan berkaitan kesihatan awam dan perdagangan.
Usaha memperkasakan Kimia Johor itu katanya, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan infrastruktur sokongan berasaskan sains dan teknologi yang mampu memenuhi keperluan pembangunan ekonomi moden.
“Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















