Rasmus Hojlund.

LONDON – Naib juara Serie A, Napoli secara rasmi mengumumkan bahawa penyerang Denmark, Rasmus Hojlund telah menyertai kelab itu secara tetap selepas klausa pembelian dalam perjanjian pinjamannya diaktifkan.

Menurut pengumuman tersebut, Man United akan menerima keseluruhan pakej perpindahan bernilai €50 juta.

“Jumlah itu terdiri daripada €6 juta yuran pinjaman yang telah dibayar musim lalu serta €44 juta bayaran pembelian tetap yang kini diselesaikan oleh Napoli.

“Dengan pengesahan itu, Hojlund secara rasmi bukan lagi pemain Manchester United bermula hari ini selepas menamatkan tempohnya di Old Trafford,” kata kelab itu dalam satu kenyataan di media sosial kelab di sini.

Hojlund, 23, menjaringkan 16 gol dalam 44 penampilan bagi semua pertandingan musim lalu bagi membantu Napoli menjulang Piala Super Itali serta menamatkan saingan Serie A di tangga kedua.

Penyerang itu menyertai Man United dari Atalanta pada tahun 2023 sebelum meledak 26 gol dalam 95 penampilan bersama kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan.

Dia juga menjadi sebahagian skuad Man United yang menjuarai Piala FA pada Mei 2024 apabila masuk sebagai pemain gantian dalam final menentang Manchester City di Wembley.

Hojlund kembali ke Itali pada permulaan musim 2025-2026 menerusi pinjaman semusim sebelum Napoli membuat keputusan mendapatkan khidmatnya secara kekal.

“Semua warga kelab ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Rasmus untuk masa depan,” menurut kenyataan Man United. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast