KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 saman telah dikeluarkan dalam Operasi Khas “Op Mabuk” yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sekitar Jalan Miri-Airport.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bermula jam 11 malam pada 6 Jun sehingga jam 3.30 pagi, 7 Jun, melibatkan seorang pegawai kanan polis bersama enam anggota trafik.
Menurut beliau, operasi tersebut memberi fokus kepada penguatkuasaan dan pencegahan kesalahan lalu lintas termasuk pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 75 individu melibatkan 55 lelaki dan 20 wanita telah diperiksa bersama 70 buah kenderaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu, pengubahsuaian ekzos, cukai jalan tamat tempoh, tidak mempamerkan huruf ‘P’ serta lain-lain kesalahan teknikal,” katanya.
Beliau berkata, tiga lelaki tempatan turut ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Ujian pernafasan menggunakan Screening Device 2 (SD2) mendapati ketiga-tiga suspek positif alkohol sebelum sampel darah diambil di Jabatan Forensik Hospital Miri untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
ACP Mohd Farhan menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol kerana boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta mengelakkan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi spesifikasi.
Sebarang maklumat berkaitan kesalahan trafik atau aktiviti samseng jalanan boleh disalurkan kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut. – Malaysia Gazette.
















