Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia pada majlis pengumuman hala tuju politik baharu di PJ Performing Arts Centre, One Utama. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mei 2026.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menggesa pengundi Johor menolak ‘parti kancil’ (Parti Bersama Malaysia) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi memastikan ‘virus’ parti itu tidak merebak ke seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua AMK Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, rakyat Johor mempunyai peranan penting untuk memastikan parti yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli itu tidak mendapat ruang dalam landskap politik negeri berkenaan.

Menurut beliau, Bersama dijangka membawa pendekatan politik sama seperti sebelum ini yang disifatkannya lebih menjurus kepada serangan politik berbanding menawarkan penyelesaian kepada rakyat.

“Parti kancil pastinya membawa naratif yang sama, sarat dengan fitnah dan adu domba semata-mata demi kepentingan politik dendam peribadi.

“Justeru, rakyat Johor yang rasional tidak akan undi parti kancil kerana tahu ia tidak akan membawa apa-apa kebaikan dan kesenangan kepada rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Rafizi bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan parti mereka akan bertanding pada PRN Johor yang dijangka menjadi medan pertama menguji sokongan terhadap parti kancil selepas penubuhannya.

Kerusi yang disebut-sebut berpotensi menjadi sasaran Bersama antaranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang yang mempunyai komposisi pengundi majoriti bukan Melayu, selain DUN Larkin yang sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat UMNO.

Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi
Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi

Menurut data pilihan raya, DUN Stulang adalah kerusi majoriti bukan Melayu dengan 53.3 peratus pengundi Cina, 4.9 peratus India, dan 37.8 peratus pengundi Melayu.

Parti itu turut dikatakan berkemungkinan memberi tumpuan kepada beberapa kerusi lain termasuk DUN Tangkak, Buloh Kasap, Jementah, Bukit Batu, Layang-Layang dan Kempas yang mempunyai sejarah persaingan melibatkan PKR, DAP, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Untuk rekod, kerusi DUN Buloh Kasap, Layang-Layang, dan Kempas ditandingi oleh PKR dalam PRN negeri pada 2022 lalu.

Selain mengumumkan hasrat bertanding di Johor, parti tersebut  turut melancarkan siri jelajah politik dikenali sebagai ‘Jelajah Kancil’ yang akan menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast